portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

USTAZ MENINGGAL AKIBAT SERANGAN JANTUNG USAI PERTANDINGAN BADMINTON

Galeri

KOTA BHARU, 24 November 2023 – Seorang Guru Pendidikan Islam yang mengajar di SK Karamunting Sandakan, Sabah yang sedang berehat tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri selepas bermain dua perlawanan badminton di sekolahnya pada Julai yang lepas.

Beliau kemudiannya dikejarkan ke Hospital Duchess Sandakan untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri bersama tiga anak berusia lima hingga sembilan tahun itu dikebumikan di kampung halamannya di Jeli, Kelantan.

Isteri Allahyarham, Che Farhani Jaffar, 39, yang juga berasal dari daerah yang sama itu berkata pemergian suami sangat mengejutkan kerana Allahyarham keluar untuk bermain badminton dalam keadaan sihat dan ceria.

“Saya belum bersedia ketika itu, bila Allahyarham meninggal memang saya sangat sedih namun saya perlu kuat untuk anak-anak yang masih kecil malah permintaan terakhirnya semasa saya menghantarnya ke sekolah adalah untuk bersalaman dengannya”.

“Pada malam sebelum pertandingan badminton itu, Allahyarham memanggil anak sulung kami untuk belajar berkenaan solat jenazah seolah-olah sudah tahu yang dia akan pergi meninggalkan kami”.

Che Farhani yang merupakan seorang suri rumah menzahirkan rasa syukurnya apabila dimaklumkan beliau menerima Wang Khairat Kematian YGMB berjumlah RM8,000.

“Saya sangat menghargai usaha YGMB dalam mempermudahkan pengurusan tuntutan khairat kematian suami saya,”

“Dengan wang ini jugalah saya akan gunakan untuk menguruskan perbelanjaan harian anak-anak yang masih bersekolah.”

Beliau kini, menetap di kampung halaman bersama ketiga-tiga anaknya.

Allahyarham Ustaz Zulkifli adalah merupakan Ahli Skim 16 dengan keahliannya hampir 10 tahun.