portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

GURU MENINGGAL DUNIA SELEPAS HASRAT TERAKHIR TERTUNAI

Galeri

KUALA TERENGGANU, 6 Mac 2024 – Seorang guru wanita tidak sempat untuk menjalani pembedahan pemindahan hati meninggal dunia selepas hasrat untuk berkumpul bersama ahli keluarga tertunai pada Disember tahun lalu.

Elinda Zakaria memaklumkan bahawa kakaknya, Emillia Zakaria, 49, yang mengalami masalah kegagalan fungsi hati dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah selama 22 hari sebelum dibenarkan pulang sementara menunggu proses pemindahan hati daripada penderma.

“Kami sangat terkejut kerana doktor memaklumkan bahawa kakak saya mempunyai harapan yang tinggi untuk kembali sihat selepas membuat pemindahan hati malah kami juga tidak menjangka bahawa beliau akan pergi secepat ini. Walau bagaimanapun kami reda lebih-lebih lagi permintaan terakhirnya dapat kami tunaikan,”

Tambahnya, Allahyarham Emillia dikejarkan semula ke hospital selepas keadaannya semakin tenat.

Elinda yang dinamakan sebagai waris utama menerima Khairat Kematian Ahli Skim 18 Allahyarham Emillia sebanyak RM27,038.23 berkata beliau akan mengagihkan wang tersebut kepada ahli keluarganya.

“Paling utama saya akan serahkan sebahagian besar daripada Khairat Kematian kakak saya kepada ibu kerana saya pasti, ibu sangat terasa kehilangan dengan pemergian arwah memandangkan arwah tinggal bertiga bersama ibu dan adik bongsu sejak beliau bercerai sebelum ini.”

Ujarnya, beliau dan arwah sangat rapat memandangkan mereka berdua bekerja dalam bidang sama dan tinggal di kawasan perumahan yang berdekatan.

Elinda yang ditemui pada satu majlis penyerahan Khairat Kematian yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Terengganu, Tuan Haji Jelani Sulong di SK Tanjung Gelam Kuala Nerus.

Dalam pada itu, Elinda sempat menzahirkan penghargaannya kepada YGMB atas kerjasama baik yang diberikan sepanjang tempoh beliau membuat tuntutan Khairat Kematian arwah kakaknya itu meskipun dibuat pada saat-saat akhir.