BESUT, 11 OGOS 2025 – Di sebalik senyuman lembutnya, tersembunyi kisah seorang wanita tabah yang sedang mengharungi ujian hidup yang tidak pernah diduga. Hariani, 49, Pembantu Pengurusan Murid (PPM) di SK Ayer Terjun, Jerteh, mula menghidap penyakit diabetes sejak tahun 2012. Ujian itu menjadi semakin berat pada Disember 2024 apabila beliau kehilangan penglihatan sepenuhnya.
Hariani yang merupakan Ahli Skim 16 YGMB sejak tahun 2018 telah dibantu oleh rakan baiknya, Nik Azura Nik Mustapha Shukri untuk membuat tuntutan manfaat Keilatan Kekal/Hilang Upaya. Beliau telah menerima manfaat tersebut sebanyak RM5,000. Beliau juga merupakan seorang balu apabila suami tercinta yang menjadi tonggak keluarga telah meninggal dunia pada 2016 yang lalu.
Prihatin dengan nasib beliau, wakil daripada Yayasan Guru Malaysia telah turut turun padang menziarahi Hariani di Hospital Sultanah Nur Zahirah melalui program Ziarah Kasih, bagi menyampaikan sumbangan serta menyuntik semangat agar beliau terus kuat melawan ujian hidup.

