KUALA TERENGGANU – “Teruslah beramal dalam mendidik anak bangsa selagi nyawa dikandung badan.”
Itulah pegangan hidup Roslina Seman, guru Pendidikan Islam semasa hayatnya sepanjang 28 tahun beliau mengajar di SMK Bukit Kuang, Kemaman.
Menurut suaminya, Mohd Mokhtar Suleiman, 54, sikap arwah yang disenangi oleh rakan sekerja serta anak muridnya itu memberi sebuah kehilangan yang sangat mendalam bukan sahaja kepada keluarga malah turut dirasai oleh semua yang mengenalinya sebagai “Ustazah Roslina”.
“Saya amat tersentuh apabila melihat sendiri bagaimana rakan guru serta anak-anak muridnya sentiasa memberi kata-kata semangat sepanjang beliau bercuti sakit dan tidak dapat hadir ke sekolah dan saya pasti beliau amat disayangi oleh semua orang kerana pegangan hidupnya yang sentiasa komited dalam mendidik mereka adalah tulus daripada hatinya.”
Beliau dengan nada sebak berkata, arwah yang menghidap kanser payudara tahap akhir itu tetap menguatkan diri untuk pergi ke sekolah dan sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab serta amanah sebagai seorang pendidik sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot.
“Arwah sentiasa beritahu saya bahawa beliau amat sayangkan profesionnya sebagai seorang guru kerana itu adalah saham akhirat buat dirinya dalam mendidik anak-anak muridnya agar menjadi insan yang berguna di masa hadapan.”
Beliau berharap sifat kasih sayang dan dedikasi semasa arwah isterinya hidup itu dapat diteruskan oleh para pendidik di negara ini dalam usaha mendidik anak bangsa menjadi permata negara kelak.
Mokhtar ditemui semasa penyerahan manfaat Khairat Kematian Ahli Skim 16 isterinya itu sebanyak RM8,000.
Dalam pada itu, isteri kepada Ahli Skim 18 iaitu Mazna Wado menerima manfaat Khairat Kematian Allahyarham Sabri Awang Hamat berjumlah RM25,037.10 yang meninggal dunia akibat kanser hati.
Mazna memaklumkan bahawa Allahyarham Sabri yang merupakan seorang guru di SK Tok Dor, Jerteh itu juga sebelum ini dikatakan ingin membuat permohonan manfaat Penyakit Kritikal namun tidak sempat menghantar borang tersebut kepada YGMB kerana kekangan kesihatan sebelum beliau meninggal dunia hujung tahun lalu.
Kedua-dua penyerahan manfaat Khairat Kematian ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Jelani Sulong, Pengarah Pendidikan Terengganu pada sebuah majlis yang diadakan di JPN Terengganu baru-baru ini.