portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

YGMB SALUR LEBIH RM131 RIBU KHAIRAT KEMATIAN KEPADA WARIS

Galeri

KOTA BHARU, 1 MAC 2026 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) telah menyerahkan manfaat Khairat Kematian kepada tiga waris melibatkan Ahli Skim Emas dan Ahli Skim 18 dalam satu majlis yang berlangsung di sini.

Dalam majlis tersebut, Guru Besar SK Manek Urai Baru, Roslan Hassan, hadir sebagai wakil kepada isteri Allahyarham Suhaimi Mohd Zain yang tidak dapat hadir kerana masih dalam tempoh iddah bagi menerima manfaat Khairat Kematian Ahli Skim Emas berjumlah RM52,020.00.

Allahyarham yang merupakan Guru Penolong Kanan telah meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Oktober tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Ismail Petra di samping isteri serta dua orang anak perempuannya.

Dalam majlis yang sama, YGMB turut menyerahkan manfaat Khairat Kematian Ahli Skim 18 kepada isteri Allahyarham Hamdan Abdullah, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru pada Disember tahun lalu.

Allahyarham yang merupakan guru Lukisan Kejuruteraan di SMK Sungai Pinang telah menamakan isterinya, Kamariah Husain, sebagai waris bagi menerima manfaat berjumlah RM27,064.84.

Seterusnya, YGMB juga telah menyerahkan manfaat Khairat Kematian Ahli Skim Emas berjumlah RM52,029.08 kepada isteri pempengaruh media sosial, Allahyarham Ahmad Radzli Che Ngah juga dikenali sebagai Rambo Castello yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung semasa lawatannya ke Yogyakarta, Indonesia pada Oktober tahun lalu.

Allahyarham Ahmad Radzli sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, PPD Jeli.

Penyerahan cek cura manfaat Khairat Kematian tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Hajah Siti Norina Muhamad, dalam majlis yang berlangsung di sini.