KUALA LUMPUR, 29 Februari 2024 – Meskipun mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat, seorang pensyarah di IPG Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor tidak menyangka bahawa beliau disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.
M. Asrar Sidon, 56, yang merupakan Ahli Skim Emas menerima Manfaat Penyakit Kritikal sebanyak RM50,027.84.
Beliau sebelum ini adalah merupakan seorang yang aktif sebelum menghadapi gejala cepat penat dan sesak nafas.
“Saya disahkan menghidap kanser tahap empat sejak hujung tahun lalu setelah mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah dan ketika itu saya dimasukkan ke hospital selama 19 hari kerana paru-paru saya dipenuhi air.”
Beliau kini masih dalam proses rawatan yang memerlukannya untuk memakan ubat kimoterapi setiap hari sejak empat bulan yang lalu.
Katanya dengan manfaat yang diterima olehnya ini sangat membantu beliau untuk terus ikhtiar mendapatkan rawatan alternatif.
“Saya nak sihat untuk saya jalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga sebab itu saya sangat berhutang budi dgn YGMB.”
“Rawatan lain memerlukan kos yang sangat tinggi dan dengan wang manfaat yang saya terima inilah yang akan saya gunakan untuk terus berusaha menjadi sihat seperti sediakala.”
Beliau berkata, apa yang dihadapi oleh beliau ketika ini mengajar dirinya untuk terus bersabar dan reda.
“Masa saya isi borang keahlian dua tahun lalu, saya tidak terfikir apa-apa dan saya rasa kita kena sentiasa beringat untuk sediakan payung sebelum hujan dan caruman di YGMB adalah yang paling rendah sekali saya pernah ambil dan saya ingin seru rakan guru untuk mengambil peluang keemasan ini untuk merebut manfaat yang ada sebagai persediaan untuk sebarang perkara yang kita tak akan pernah jangka.”
M. Asrar ditemui pada sebuah majlis penyerahan manfaat Penyakit Kritikal yang disampaikan oleh Tuan Haji Roslan Abu Hassan, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) di JPWPKL.