ALOR SETAR, 8 Mei 2024 – Guru Bahasa Inggeris tidak sempat menarik nafas lega apabila kanser payudara tahap empat yang dihidapinya sejak Jun tahun lalu kini merebak ke organ lain dan disahkan menghidap kanser paru-paru beberapa bulan yang lepas.
Ruziana Rosni Zakaria, 53, mula mendaftar sebagai Ahli Seumur Hidup (ASH) semasa berkhidmat di SK Jengka 7 pada tahun 1996 telah menukar keahliannya kepada Ahli Skim 18 (AS18) dalam satu program yang diadakan di SK Putat, Jitra pada 2022.
“Saya menjadi ahli YGMB semasa awal pengenalan skim yang disediakan dan keputusan untuk saya menukar keahlian kepada skim yang menyediakan manfaat yang lebih banyak seperti AS18 ini membantu saya meringankan beban dalam menampung kos-kos perubatan sampingan dalam menghadapi saat-saat sukar yang dihadapi ketika ini,”
Harapannya tinggi agar YGMB dapat terus mempertingkatkan mutu dan sentiasa komited dalam menjaga kebajikan para guru yang ditimpa ujian seperti dirinya.
Dengan nada sebak juga beliau memaklumkan dirinya sedang bercuti sakit sejak Julai tahun lalu dan berharap agar dikurniakan kesembuhan dan dapat kembali berkhidmat untuk mengajar seperti biasa.
Dalam pada itu, beliau hari ini menerima manfaat Penyakit Kritikal berjumlah RM25,078.83 di sebuah program Ceramah Anti-Scam Warga Pendidik Kedah dan Perlis di Dewan Al-Farabi Jabatan Pendidikan Kedah.
Manfaat Penyakit Kritikal tersebut disampaikan oleh SAC Alina Saad, Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselematan Komuniti Bukit Aman serta diiringi oleh Pengarah Pendidikan Kedah, Tuan Haji Ismail Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.
Program yang julung kali diadakan ini adalah merupakan kerjasama di antara Kementerian Pendidikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tajaan Yayasan Guru Malaysia Berhad.