portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

GURU RUGI LEBIH RM37 JUTA AKIBAT DITIPU ‘SCAMMER’ SEJAK 2023

Galeri

SEBERANG PERAI, 12 JUN 2024 – Siasatan polis mendapati kebanyakan guru terpedaya dengan scammer yang menggunakan komunikasi sebagai modus operandi hingga mengakibatkan mereka kerugian lebih RM37 juta dalam tempoh 16 bulan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sebanyak 1,378 kes penipuan direkodkan sepanjang 2023 hingga April tahun ini melibatkan warga pendidik.

Katanya, mangsa yang tertipu melalui modus operandi komunikasi sebanyak 479 kes.

“E-dagang pula 430, pelaburan tidak wujud (199), e-kewangan (121), pinjaman tidak wujud (111) dan love scam (38).

“Secara keseluruhan, kerugian akibat penipuan mencecah RM1.6 bilion melibatkan 44,096 kes di seluruh negara dalam tempoh sama,” katanya ketika ditemui pada Program Kesedaran Anti-Scam terhadap Warga Pendidik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) itu berlangsung selama dua hari melibatkan lebih 500 pentadbir kanan sekolah.

Menurut Wan Hassan, sebanyak 61 kes membabitkan guru telah direkodkan dengan nilai kerugian sebanyak RM3,137,529 di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, guru wanita yang telah atau bakal bersara sering menjadi mangsa scammer.

“Diharapkan program ini akan memberi kesedaran kepada guru-guru untuk lebih berhati-hati,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat memberitahu, pihaknya akan terus menjelajah ke seluruh negara untuk mengadakan pertemuan dengan guru-guru bagi membantu mereka meningkatkan kefahaman sekaligus mengelak daripada terus menjadi mangsa ‘scammer’.

Selain Pulau Pinang, siri jelajah itu telah diadakan di Kedah, Perlis dan Terengganu sebelum ini. – KOSMO! ONLINE