portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

“IBARAT JATUH TERDUDUK SELEPAS SUAMI MENINGGAL DUNIA”

Galeri

SEBERANG JAYA – Itulah perumpamaan bagi kehidupan Noor Mahfuzah Salleh selepas suami yang selama ini menjadi tunggak utama dalam rumahtangga mereka hampir 14 tahun itu meninggal dunia September tahun lalu.

Allahyarham Mohd Fahmi Zainol yang merupakan guru Bahasa Inggeris dan Matematik telah berkhidmat selama 15 tahun di SK Permatang Tok Jaya meninggal dunia seminggu selepas dia disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat kritikal.

Noor Mahfuzah, 43, yang merupakan guru Bahasa Arab di SK Kampong Tok Bedor memaklumkan bahawa dia mengambil keputusan untuk membawa arwah ke hospital swasta bagi membuat pemeriksaan kesihatan secara lebih terperinci kerana bimbang tahap kesihatannya yang semakin merosot dan hanya disahkan mengalami demam biasa.

“Kami merujuk kepada hospital swasta bagi mendapatkan keputusan pemeriksaan kesihatan dengan lebih cepat. Walaupun pihak hospital mengesahkan suami hanya menghidap Tuberkolosis (batuk kering) namun gerak hati saya mengatakan, suami menghidap penyakit yang lebih serius,”

Katanya, arwah yang sempat menjalani rawatan bagi pesakit TB itu tidak memberi sebarang tindak balas terhadap ubat-ubatan yang diambil sehingga paru-parunya ditebuk membuatkan dirinya mengambil keputusan untuk membawa suami keluar daripada hospital tersebut dan merujuk kepada hospital kerajaan yang berhampiran.

“Kos rawatan dan perubatan di hospital swasta telah mencecah hampir RM35,000 dan ditanggung penuh oleh kami sendiri. Apabila suami berpindah ke hospital Kerajaan, doktor mengesahkan dia menghidap kanser paru-paru tahap empat dan tiada rawatan yang dapat dilakukan kerana sel kanser tersebut telah merebak di seluruh badan.”

Noor Mahfuzah yang ditemui oleh YGMB turut bercerita arwah meminta untuk ditidurkan kerana tidak dapat menahan kesakitan yang dialaminya sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir disisi keluarga pada usia 48 tahun.

“Sepanjang 14 tahun usia perkahwinan kami, segala hal ehwal rumahtangga diuruskan oleh suami dan kini saya hilang tempat bergantung dan perlu menggantikan tugas suami untuk membesarkan anak-anak kami.”

Allahyarham Mohd Fahmi meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak berusia antara lapan hingga 13 tahun.

Dalam pada itu, beliau hari ini menerima manfaat Khairat Kematian arwah suaminya berjumlah RM8,000 di sebuah program Ceramah Anti-Scam Warga Pendidik Pulau Pinang dengan kerjasama Dewan Seminar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang.

Khairat Kematian tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan serta diiringi oleh Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Mohd Harith Mohd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

Program ini diadakan dengan kerjasama di antara Kementerian Pendidikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tajaan Yayasan Guru Malaysia Berhad.