AYER KEROH, 24 Julai 2024 – Seorang abang kepada Pembantu Tadbir di SK Ayer Pa’abas di Alor Gajah tidak menyangka adiknya menamakan dia sebagai waris bagi manfaat Khairat Kematian Ahli Skim 16 itu.
Menurut Bashir Abu Bakar, 52, adiknya Allahyarham Norashikin yang meninggal dunia akibat kegagalan fungsi organ pada usia 39 tahun itu telah lama menderita penyakit itu dan sering masuk ke hospital.
“Hospital itu bagaikan rumah kedua buat arwah dan kami adik-beradik memang sentiasa menjaga arwah memandangkan kedua ibu bapa kami telah lama meninggal dunia.”
“Kesedihan kehilangan adik bongsu masih terasa apatah lagi apabila terkenangkan arwah yang sering meminta maaf kerana selalu menyusahkan abang dan kakaknya yang tidak pernah lelah menjaga dia.”
Tambah Bashir yang menerima manfaat Khairat Kematian adiknya berjumlah RM8,000 itu, arwah yang belum berkahwin menetap di rumah adik-beradiknya yang juga berdekatan dengan rumahnya.
Dalam pada itu, seorang lagi waris menerima manfaat Khairat Kematian Ahli Skim 18, berjumlah RM27,042.57. Allahyarham Fareeza Ab Rasip adalah merupakan seorang Pengetua di SMK Taman Pelangi, Johor meninggal dunia akibat jangkitan kuman.
Kedua-dua penyerahan tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Rubaiya Abu Nawas dan diiringi oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, ACP Foo Chek Seng dalam sebuah program Ceramah Anti-Scam Terhadap Warga Pendidik Negeri Melaka anjuran bersama Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di Dewan Serbaguna IPK Melaka.