KOTA BHARU, 6 Ogos 2024 – Seorang guru yang baru mendaftar sebagai Ahli Skim Emas (ASE) enam bulan lepas meninggal dunia pada 29 April lalu apabila paru-parunya dijangkiti kuman sementara menunggu tarikh pembedahan untuk membuang ketumbuhan dalam otak.
Allahyarham Roslinda Mohd Razali merupakan seorang guru di SK Penambang, Pantai Cahaya Bulan meninggal dunia pada usia 43 tahun meninggalkan dua orang cahaya mata perempuan berusia 12 dan enam tahun.
Suaminya, Mohd Kamaruzzaman Ghazali, 40, yang juga merupakan seorang guru di SK Redang berkata isterinya baru sahaja menjalani rawatan membuang cecair pada bahagian otak sebulan selepas disahkan menghidap ketumbuhan otak sejak Januari lalu.
“Keadaan kesihatan arwah merosot secara tiba-tiba pada awal Februari lalu dan kami terus membawa dia ke bahagian kecemasan hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan kerana paru-parunya dijangkiti kuman,”
Tambahnya disebabkan itu juga, arwah tidak sempat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan otak yang dijadualkan pada April.
“Arwah isteri saya dimasukkan ke hospital dan ditidurkan pada hari kelima kerana kadar oksigennya semakin rendah serta kritikal namun Allah lebih mengetahui yang terbaik dan isteri saya mengembuskan nafasnya yang terakhir ketika dia ditidurkan,”
Allahyarham Roslinda telah menamakan dua orang anaknya iaitu Nur Afreena Qalessya (12) dan Nur Afreena Zaheera (6) sebagai waris utama ke atas manfaat Khairat Kematiannya berjumlah RM52,003.60.
Ketiga-tiga mereka ditemui pada program Ceramah Anti-Scam Terhadap Warga Pendidik Negeri Kelantan anjuran bersama Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di Dewan Sri Tunjong, JPN Kelantan.
Penyerahan manfaat Khairat Kematian tersebut disampaikan oleh Pengerusi YGMB, Tuan Haji Aminudin Adam dan diiringi oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Tuan Haji Mat Lazim Mohammad serta Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.