KUBANG PASU, 28 November 2024 – Seorang guru yang mengajar di SK Siputeh yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang sejak 2017 telah meninggal dunia baru-baru ini.
Allahyarhamah Maizura Abd Samad meninggal dunia pada usia 43 tahun masih belum berkahwin dan menetap bersama ahli keluarganya telah menamakan adik bongsu dan ibunya sebagai waris kepada manfaat Khairat Kematian bagi Ahli Skim 18 (AS18) tersebut.
Adik kepada Allahyarhamah Maizura, Mohamad Nazmi, 34, berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu yang tidak dapat hadir diwakili oleh kakak sulungnya, Rohaidzan yang merupakan seorang kaunselor di SMK Seri Pantai.
“Kami tujuh beradik sangat rapat kerana membesar bersama dan tidak pernah berjauhan. Semasa arwah sakit dan perlu menjalani rawatan dialisis, kami sekeluarga sentiasa bergilir untuk menemaninya di pusat dialisis,” ujar Rohaidzan.
Arwah merupakan individu yang amat disayangi oleh semua anak saudaranya malah beberapa bulan sebelum beliau meninggal dunia, arwah sering meninggalkan pesan dan menasihati anak-anak saudaranya untuk menjadi anak yang soleh dan solehah serta terus berbakti kepada ibu bapa.
Rohaidzan hadir pada majlis tersebut bagi menerima manfaat Khairat Kematian Allahyarhamah Maizura sebanyak RM27,021.51 yang disampaikan oleh Mukhtar Mansor, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah PPD Kubang Pasu dengan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.