KUALA TERENGGANU, 30 Mac 2023 – Di sebalik tugas harian yang padat, guru Bimbingan dan Kaunseling merangkap jurulatih pasukan bola jaring dan bola baling, SK Tanah Rata, Jerteh; Rosmarizal Mahyidin, 47, tiba-tiba disahkan menghidap strok otak kanan akibat keletihan yang melampau.
Rosmarizal berkata, sewaktu kejadian dia yang sudah beberapa hari kekurangan waktu rehat tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas sehingga sesak di bahagian dada.
“Saya baru sahaja hendak tidur, namun tiba-tiba dada terasa amat sempit. Ketika itu, suami lihat mata saya seperti terbeliak sebelum pengsan lalu dia terus bawa ke klinik berdekatan.
“Rawatan awal mendapati saya berkemungkinan strok dan perlu dibawa ambulans untuk dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah. Beberapa hari kemudian, setelah pelbagai pemeriksaan dilakukan akhirnya doktor memberitahu bahawa punca oksigen tidak sampai ke otak saya mengakibatkan sistem imunisasi badan menjadi lemah dan disahkan sebagai serangan strok otak kanan atau bahasa saintifiknya ischemic stroke,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Iftar Ramadan di Raia Hotel & Convention Centre dekat sini hari ini.
Meskipun begitu, Rosmarizal turut tidak menyangka dirinya boleh terkena serangan strok memandangkan selama ini dia menjalani gaya hidup sihat.
“Sebenarnya saya memang sangat aktif dan menjaga kesihatan serta mengekalkan berat badan ideal. Setiap enam bulan sekali saya mesti pergi buat pemeriksan keseluruhan dan alhamdulillah tiada sebarang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, kolestrol dan sebagainya.
“Namun, benarlah seperti yang dikata, malang itu tidak berbau. Bagaimana kita menjaga diri sekali pun, jika Allah hendak menguji, kita tiada daya menolaknya. Mungkin ini bahagian yang perlu saya lalui. Alhamdulillah, ia masih di peringkat awal dan rawatan susulan masih boleh diteruskan untuk kembali pulih,” tegasnya.
Dalam pada itu, Rosmarizal bersyukur apabila sempat ‘menyediakan payung sebelum hujan’ dengan menjadi sebahagian daripada Ahli Skim 18 (AS18), Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sehingga membolehkannya menerima manfaat Penyakit Kritikal bernilai RM25,077.46 dalam majlis hari ini.
Ibu kepada sembilan cahaya mata itu turut menasihati agar semua warga pendidik untuk berusaha sedaya upaya menjadi ahli YGMB yang dianggap mampu membantu meringankan beban sekiranya terjadi musibah.
“Saya sendiri tidak sangka sebenarnya boleh terima manfaat dengan nilai sebesar ini. Saya cerita dengan rakan-rakan yang sama-sama daftar keahlian sebelum ini semua terkejut dan kami rasa sangat berbaloi dengan yurannya boleh dikatakan murah. Jadi, kepada semua guru, apa lagi yang anda tunggu? Sertailah ahli YGMB segera kerana manfaatnya amat besar buat kita,” ujarnya menutup bicara.
Terdahulu, Rosmarizal menjadi salah seorang AS18 YGMB yang menerima wang manfaat Penyakit Kritikal yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan & Pengurusan PPD; Tuan Haji Awi Salleh sambil disaksikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainuddin Muda dalam Majlis Iftar Ramadan anjuran yayasan itu dekat sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif YGMB; Dato’ Wan Munadi Wan Mamat, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah; Tuan Haji Azman Othman, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran; Tuan Haji Kasman Embong dan Pegawai Pendidikan Daerah Besut; Tuan Haji Abdullah Zawawi Haji Yahya.