KOTA BHARU, 12 Januari 2025 – Sakit perut yang disangka gastrik rupa-rupanya adalah petanda awal serangan jantung yang dialami oleh seorang guru wanita yang mengajar di SMK Ketereh sehingga membawa maut.
Allahyarhamah Tengku Putri Faridatul Akma Tuan Abdullah meninggal dunia pada usia 48 tahun meninggalkan empat orang anak yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 25 tahun.
Arwah yang juga merupakan seorang ibu tunggal sejak 10 tahun lalu itu telah menamakan dua orang anak iaitu Nik Nurin Ajrina, 25, dan Nik Muhd Faris Amsyar, 22, sebagai waris manfaat Khairat Kematian bagi Ahli Skim Emas (ASE) tersebut.
Sehubungan itu, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) telah menyampaikan manfaat Khairat Kematian yang berjumlah RM52,037.40 kepada Nik Nurin Ajrina yang diwakili oleh neneknya dalam sebuah majlis penyerahan manfaat yang diadakan di SMK Ismail Petra.