KUALA LUMPUR, 14 Januari 2025 – Tiada apa yang dapat dilakukan apabila Allah mengkehendaki sesuatu itu berlaku. Itu kata-kata daripada seorang suami yang kematian isterinya baru-baru ini.
Allahyarhamah Marlina Mohamed Noor yang meninggal dunia pada usia 40 tahun pada Oktober lalu disahkan mengalami masalah injap jantung semasa hendak melahirkan anak bongsunya pada 2022.
Menurut suaminya, Mohd Azri Md Akair, 44, arwah baru sahaja menjalani pembedahan bagi menukar injap saluran jantung pada 23 Oktober yang lepas.
“Selepas keluar daripada bilik pembedahan, jantung arwah berhenti dalam beberapa minit sehingga pegawai perubatan melakukan proses defibrilator luaran automatik (AED) bagi mengembalikan degupan jantungnya,” ujar Azri.
Meskipun jantung Allahyarhamah Marlina kembali berdegup, ia perlu bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan arwah disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Allahyarhamah Marlina telah berkhidmat sebagai Pembantu Operasi di SK Seri Hartamas selama 14 tahun itu adalah merupakan Ahli Skim 16.
Arwah menamakan suami dan anak sulungnya yang berusia sembilan tahun sebagai waris untuk menerima manfaat Khairat Kematian berjumlah RM8,000.
Dalam pada itu, seorang lagi waris kepada Ahli Skim 16, Allahyarhamah Zalina Mustapha yang meninggal dunia akibat kanser usus pada hujung November lalu turut menerima manfaat Khairat Kematian berjumlah RM8,000. Arwah adalah merupakan seorang guru Bahasa Inggeris yang mengajar selama 27 tahun di SK Batu Belah, Klang.
Kedua-dua manfaat tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPWPKL, Radzita Radzi diiringi bersama Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dalam program Ceramah Anti-Scam Terhadap Warga Pendidik anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama PDRM dan YGMB yang diadakan di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.