LUMUT, 14 JUN 2025 – Pertambahan bilangan ahli saban tahun menjadi pemangkin semangat kepada Yayasan Guru Malaysia untuk terus komited dalam memartabatkan profesion keguruan di negara ini, khususnya dalam aspek memelihara kebajikan warga pendidik.
Seiring dengan perkembangan teknologi, Yayasan Guru Malaysia turut mengambil langkah proaktif dengan beroperasi secara digital sepenuhnya sejak tahun lalu. Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan urusan pentadbiran, permohonan dan tuntutan, malah turut menyumbang kepada peningkatan jumlah ahli yang tampil menuntut pelbagai manfaat yang ditawarkan. Usaha ini dilihat penting bagi memastikan Yayasan Guru Malaysia kekal relevan dan seiring dengan arus kemajuan digital masa kini.
Dalam majlis penyerahan manfaat yang berlangsung di Lumut hari ini, Yayasan Guru Malaysia telah menyerahkan pelbagai bentuk manfaat berjumlah lebih RM120,000 kepada waris dan ahli.
Mendahului penerima manfaat Khairat Kematian ialah Abdul Yaziz Saad, suami kepada Allahyarhamah Siti Hajar Hassan telah menerima manfaat berjumlah RM8,000. Allahyarhamah yang merupakan Ahli Skim 16 telah meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan telah meninggalkan empat orang cahaya mata yang masih bersekolah, berusia antara 11 hingga 18 tahun.
Seterusnya, Nabil Fikri, anak kedua kepada Allahyarhamah Normah Osman pula turut menerima manfaat Khairat Kematian ibunya, Ahli Skim 18 berjumlah RM27,029.44. Allahyarhamah meninggal dunia akibat kanser usus merupakan seorang ibu tunggal yang telah kehilangan suami sejak tahun 2020.
Diikuti manfaat Keilatan Kekal Separa – Kemalangan berjumlah RM12,500 kepada Penolong Pengarah Bahagian Tajaan Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Rahmat Sholihin Mokhtar. Beliau telah kehilangan penglihatan mata kiri akibat kemalangan ketika bermain badminton.
Menyedari impak besar penyakit kritikal terhadap kehidupan individu dan keluarga, Yayasan Guru Malaysia turut menyalurkan manfaat kepada dua ahli yang disahkan menghidap penyakit kritikal.
Ana Melissa Zainal, 46, guru di SMK Bentong, Pahang telah disahkan menghidap kanser payudara pada Ogos tahun lalu, menerima manfaat Penyakit Kritikal AS18 berjumlah RM25,044.65.
Seorang lagi penerima manfaat ialah Wan Nor Akidah @ Wan Ismail, yang merupakan waris kepada kakaknya, Allahyarhamah Wan Ziliati Wan Zakaria @ Wan Ismail. Beliau telah menerima manfaat Penyakit Kritikal Allahyarhamah kakaknya yang merupakan Ahli Skim Emas berjumlah RM50,124.83.
Kesemua penyerahan manfaat telah disempurnakan oleh KPPM, YBhg. Datuk Haji Azman Haji Adnan.