KOTA BHARU, 2 DISEMBER 2025 – Yayasan Guru Malaysia telah menyerahkan manfaat Khairat Kematian dengan jumlah keseluruhan melebihi RM62 ribu kepada tiga orang waris Ahli Skim 16 dan Ahli Skim 18 dalam sebuah majlis ringkas yang diadakan di sini, baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, anak sulung Allahyarhamah Razana Zakaria iaitu Ahmad Syairazie Ibrahim telah hadir bagi menerima manfaat Khairat Kematian ibunya yang berjumlah RM27,034.37. Allahyarhamah yang merupakan seorang Guru Bahasa Arab di SMK Ketereh itu telah menghembuskan nafas terakhirnya akibat kanser pangkal rahim pada Julai yang lalu.
Turut menerima manfaat ialah tiga orang anak Allahyarhamah Rohaizan Md Yusoff iaitu Muhammad Adeeb Fahim Zamri, Amni Nuha Daleela Zamri dan Aisyah Nuha Zahira Zamri. Mereka diwakili Salmiah Md Yusoff (Ibu Saudara) bagi menerima manfaat Khairat Kematian yang berjumlah RM27,034.37. Allahyarhamah, guru di SK Sri Neting, telah meninggal dunia pada Julai lalu akibat komplikasi penyakit diabetes.
Sementara itu, Sollahuddin Ab Aziz, suami kepada Allahyarhamah Wan Nor Azizah Wan Ismail, menerima manfaat Khairat Kematian Ahli Skim 16 isterinya berjumlah RM8,000. Allahyarhamah, seorang Guru Kaunseling di SK Jeram, Pasir Puteh, telah meninggal dunia pada Ogos lalu akibat kanser payudara. Beliau meninggalkan lima orang anak berusia antara 16 hingga 21 tahun.
Majlis penyerahan manfaat disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah, Mohd Hassany Hashim. Beliau diiringi oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Drs. Haji Ahmad Yani Muhammad dan Amran Ghani serta Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

