BESUT, 19 JANUARI 2026 – Yayasan Guru Malaysia telah menyerahkan manfaat Khairat Kematian kepada dua waris ahli YGMB dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung bersempena Sesi Libat Urus Pengurusan Prasekolah Daerah Besut di Dewan SMK Alor Peroi, di sini.
Dalam majlis tersebut, suami kepada Allahyarhamah Faiezah Daud, Adnan Hassan, menerima manfaat Khairat Kematian Ahli Skim Emas (ASE) berjumlah RM52,025.37. Allahyarhamah yang merupakan Guru Prasekolah di SK Besut 2 telah meninggal dunia pada Ogos tahun lalu akibat darah beku di saluran otak.
Pada awalnya, suami Allahyarhamah tidak mengetahui bahawa arwah merupakan Ahli Skim Emas YGMB sehinggalah menerima kunjungan Timbalan Pengerusi YGMB, Dato’ Haji Abdul Muie Ngah, ketika Allahyarhamah dirawat di hospital. Allahyarhamah turut meninggalkan empat orang anak berusia antara 11 hingga 22 tahun.
Dalam majlis yang sama, Norshafika Izati Abdul Rahman, anak sulung kepada Allahyarhamah Hariani, yang merupakan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) di SK Ayer Terjun, Jerteh, menerima manfaat Khairat Kematian Ahli Skim 16 berjumlah RM8,000. Allahyarhamah telah menghembuskan nafas terakhir pada Oktober 2025 akibat kegagalan fungsi organ berpunca daripada penyakit diabetes yang dihidapinya.
Allahyarhamah mula menghidap diabetes sejak tahun 2012 dan pernah melalui pembedahan pemotongan kaki kiri akibat komplikasi penyakit tersebut. Ketika hayatnya, Allahyarhamah pernah mengemukakan dan menerima manfaat Keilatan Kekal/Hilang Upaya akibat kehilangan penglihatan sepenuhnya sebanyak RM5,000 pada Ogos 2025. Allahyarhamah juga pernah menerima manfaat Bencana akibat banjir yang menimpa kediamannya sebanyak RM500.
Penyerahan kedua-dua cek cura manfaat tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Dato’ Haji Abdul Muie Ngah.

