KAJANG, 31 JANUARI 2026 – Sepasang suami isteri yang merupakan warga pendidik berdepan detik paling memilukan apabila kehilangan dua anak lelaki mereka akibat lemas ketika cuba mengambil bola di dalam longkang dalam satu kejadian pada Disember lalu.
Dalam kejadian tersebut, anak sulung, Khalish Shahdan Khairul Ikram, 14, ditemukan tersangkut pada struktur konkrit di kawasan kolam takungan air. Adiknya, Kayyum Shaqeel Khairul Ikram, 12, pula ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Bapa mangsa, Khairul Ikram Baharin, 47, yang bertugas sebagai guru di SMK Bandar Baru Sungai Long, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang tampil menghulurkan bantuan kepada keluarganya.
YGMB telah menyampaikan manfaat Khairat Kematian Anak di bawah Ahli Skim Emas berjumlah RM2,000 kepada beliau sebagai waris. Menurutnya, pemergian kedua-dua anak ini merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh ahli keluarga.

