portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

CIKGU ASMADI KENANG MEMORI JAGA ISTERI DERITA KANSER HINGGA AKHIR HAYAT

Galeri

MELAKA, 4 April 2023 – “Setiap kenangan dan memori pahit manis yang dilalui bersama arwah isteri tercinta akan saya kenang selamanya terutama sepanjang tempoh sukar yang perlu kami hadapi sebaik sahaja dia disahkan menghidap penyakit kanser awal tahun lalu,” demikian luahan hati suami kepada Allahyarhamah Cikgu Zanariah Salleh, 50 iaitu Asmadi Othman, 52 ketika ditemui dekat sini hari ini.

Asmadi berkata, pengalaman dua hari sebelum raya tahun lepas masih segar di ingatan apabila isterinya terpaksa menjalani pembedahan mengejut selepas mengadu sakit kepala yang teruk sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

“Ketika itu, saya terpaksa berhenti di perhentian rehat & rawat Tapah untuk menenangkan isteri yang tiba-tiba sakit kepala dan kelihatan sangat lemah sebelum membuat keputusan untuk keluar ke Ipoh dan dapatkan rawatan segera di hospital berhampiran. Keadaannya kritikal dan hanya ada peluang 50-50 sahaja ketika itu. Jadi, terpaksalah arwah dibedah segera.

“Saya ingat lagi, hampir seminggu lebih juga saya bermastautin di negeri orang dengan menyewa beberapa inap desa. Musim perayaan, memang boleh kata semua inap desa penuh sebab orang balik beraya,” katanya.

Bagaimanapun, guru Bahasa Melayu di SK Pulau Sebang, Alor Gajah ini reda ketentuan Ilahi apabila kesihatan isterinya semakin merosot hari demi hari meskipun pelbagai kaedah rawatan telah diikhtiarkan.

“Arwah isteri saya sakit tidak terlalu lama, hanya dalam tempoh lebih kurang empat ke lima bulan sahaja. Sel kanser yang pada mulanya doktor katakan tidak terlalu aktif, rupa-rupanya sudah merebak ke beberapa organ dalamannya sehingga dia disahkan meninggal dunia di kediaman kami pada 23 Ogos tahun lalu. Selama dia sakit memang saya yang jaga, tapi saya sedikit terkilan apabila saat dia menghembuskan nafas terakhir itu, saya tiada di sisinya kerana bertugas di sekolah,” ujarnya sebak.

Asmadi hadir sebagai waris yang menerima wang Khairat Kematian Ahli Skim 16 (AS16) bernilai RM8,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dekat sini hari ini.

Sementara itu, waris Allahyarham Ustaz Shahabudin Mohamad, 55 yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 6 Januari lalu turut menerima RM8,000 wang Khairat Kematian AS16 dalam majlis sama.

Isterinya yang juga Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di SMK Bukit Rokan, Tampin; Ustazah Zainon Mohamed Yusop, 54 berkata, dia sendiri tidak menyangka arwah suaminya menjadi ahli YGMB selama ini meskipun yuran bulanannya hanya RM10.

“Saya terkejut apabila anak maklumkan kepada saya bahawa arwah tinggalkan khairat kematian hasil keahliannya dengan YGMB.

“Saya rasa sangat bersyukur sebenarnya sebab sedikit sebanyak wang tersebut membantu kami menguruskan beberapa urusan arwah. Zaman sekarang, sekecil-kecil perkara itu tetap memerlukan kos, jadi saya boleh kata memang tidak rugi jadi ahli YGMB”, katanya.