JITRA, 6 APRIL 2022 – “Kehadiran Ramadan kali ini benar-benar meruntun jiwa saya dan anak-anak apabila mengenangkan ketiadaan arwah di sisi kami bagi menjalani ibadah puasa pada tahun ini,” itu luahan hati balu kepada Allahyarham Ustaz Ammar Radi, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 25 Januari tahun ini.
Balunya, Ezdiani Muhaijah Musa, 39 berkata, arwah suaminya merupakan individu yang sentiasa gembira dan teruja setiap kali menyambut Ramadan bersama dirinya dan anak-anak dengan membuat pelbagai persiapan, namun tahun ini semuanya tinggal kenangan.
“Selalunya waktu berbuka puasa, arwah akan membeli pelbagai jenis juadah memandangkan ahli keluarga kami ramai. Anak-anak turut bergembira menyambut puasa kerana ayah mereka rajin melayan.
“Kiranya, arwah akan sentiasa ada menemani kami untuk berbuka bersama dan juga menjalani ibadah terawih. Sehingga kini, saya memang masih terkenang akan kehadiran arwah bersama kami,” ujarnya dengan nada sebak.
Mengenang semula detik pemergian Ustaz Ammar, ibu kepada enam orang anak itu berkata bahawa suaminya mula sakit usus sewaktu dirinya melahirkan anak bongsu.
“Saya sering menasihatinya untuk membuat pemeriksaan kesihatan memandangkan dia kerap mengalami sakit perut yang teruk. Namun, hanya selepas beberapa kali baru dia pergi buat pemeriksaan dan didapati keadaannya sudah semakin teruk.
“Arwah hanya sempat menjalani satu sesi kimoterapi memandangkan penerimaan badannya terhadap ubat tersebut tidak begitu baik sehinggalah hari dia menghembuskan nafasnya terakhir,” katanya.
Ezdiani turut meluahkan rasa sedih apabila melihat anak bongsunya yang masih kecil itu seolah-olah mengerti akan pemergian bapanya apabila tidak mahu tidur malam dan kerap menangis.
“Selalunya sebelum tidur, dia akan bermain dengan bapanya. Namun, selepas arwah pergi dia meragam dan tidak mahu tidur. Saya terpaksa berikan dia baju dan kopiah yang pernah dipakai arwah untuk menenangkannya,” katanya.
Dalam pada itu, balu Allahyarham Ammar menerima RM8,000 Khairat Kematian sebagai Ahli Skim 16 (AS16) Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat sambil disaksikan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Siputeh, Salma Ismail dekat sini hari ini.
Allahyarham Ammar yang juga guru Bahasa Arab di SK Siputeh Kubang Pasu itu meninggalkan seorang balu berserta enam orang anak masing-masing berusia 17 hingga satu tahun iaitu Muhammad Irfan Ammar;17, Muhammad Afwan; 13, Siti Nur Irfah; 10, Muhammad Istikhar; 8, Muhammad Amzar; 5 dan Siti Nur Istina Assydiya Rasifa; 1 tahun 2 bulan.