BACHOK : Festival Guru Malaysia (FGM) pada tahun ini yang dianjurkan secara bersemuka selepas negara memasuki fasa peralihan endemik ternyata memberikan kelegaan kepada warga pendidik.
Sebelum ini, FGM tidak dapat dianjurkan selama dua tahun selepas negara ‘diikat’ dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan jangkitan wabak Covid-19.
Rata-rata warga pendidik yang ditemui di perkarangan lokasi penganjuran FGM 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini mengakui teruja dapat kembali mengikuti program itu secara terbuka.
Menurut, Muhammad Firdaus Rashid, 38, dia teruja untuk hadir memeriahkan penganjuran FGM yang dianjurkan bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.
“Lebih mengujakan, Kelantan adalah tuan rumah pada tahun ini. FGM ini bagus untuk warga pendidik di mana kami semua boleh melakukan aktiviti secara bersemuka selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.
“Alhamdulillah, saya lihat sokongan yang diberikan oleh warga pendidik amat baik sekali apabila mereka sama-sama turun padang dengan memberikan sokongan kepada FGM dan menyertai pameran.
“Sokongan itu dapat dilihat apabila ada guru-guru yang turut sama membawa anak-anak murid mereka ke FGM bagi memeriahkan progam ini,” katanya yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pasir Mas.
Sementara itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Mohd. Asri Ibarhim berkata, dia hadir ke FGM bagi mendapatkan info-info terkini dalam dunia pendidikan.
“Segala maklumat yang dikutip di FGM ini akan dikongsikan kepada rakan-rakan guru bagi mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka dan juga kepada pelajar lagi menambahkan ilmu pengetahuan mereka.
“Sejujurnya masih tidak percaya Kelantan menjadi tuan rumah kepada program ini. Biasanya program seperti FGM ini hanya dianjurkan di Kuala Lumpur sahaja.
“Jadi apabila buat di UMK Bachok, saya melihat peluang keemasan ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk hadir ke sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nurul Nabila Baharum berkata, FGM memberikan banyak pendedahan sebenar dalam dunia pendidikan termasuk kaedah baharu dalam pengajaran secara digital.
“Segala ilmu yang saya kutip ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi kemahiran sebagai guru,” katanya yang ketika ini sedang menjalani latihan industri sebagai seorang guru di SMK Sains Pasir Puteh.