BACHOK: Sharp Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. (Sharp Malaysia) dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menyokong guru di seluruh negara dalam menggunakan pembelajaran bilik darjah digital melalui program latihan Penyelesaian Bilik Darjah Pintarnya.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Pengarah Urusan, Sharp Malaysia, Ting Yang Chung sambil disaksikan Pegawai Urusan Eksekutif Kanan dan Ketua Perniagaan Asia, Sharp Corporation Japan, Yoshihiro Hashimoto dan Pengerusi YGMB, Aminudin Adam.
Menurut Yang Chung, Sharp Malaysia berusaha untuk memanfaatkan kemajuan teknologi yang dimilikinya dan terus bekerjasama dengan YGMB bagi membolehkan pembelajaran bilik darjah digital untuk pelajar dan guru di seluruh negara.
“Kami berganding bahu dengan YGMB bagi melaksanakan program latihan Penyelesaian Bilik Darjah Pintar yang bermatlamat memupuk dan mempersiapkan para guru di negara ini dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih terkehadapan.
“Selain membolehkan pengajaran dalam talian dilakukan dengan lebih baik dan interaktif, Penyelesaian Bilik Darjah Pintar oleh Sharp turut membolehkan pembelajaran hibrid dilakukan dalam kalangan guru dan pelajar.
“Program latihan ini akan memberi panduan kepada guru untuk menggunakan papan pintar Sharp secara berkesan apabila mengajar. Ini secara langsung akan memperkasa guru untuk menggunapakai penyelesaian bilik darjah digital baharu di sekolah-sekolah.
“Kami percaya yang kami mampu membantu meningkatkan standard pengajaran dengan melengkapkan guru dengan pengetahuan dan latihan sewajarnya yang membantu mereka menjalankan pengajaran bilik darjah abad ke-21, yang lancar, inovatif dan pintar ,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada pemberita.
Sementara itu, mengulas tentang kerjasama yang terjalin, Wan Munadi berkata, YGMB percaya yang kualiti pengajaran dapat dipertingkatkan melalui program latihan Sharp, memandangkan ia memupuk kemahiran pengajaran digital dalam kalangan guru.
Dalam pada itu, Hashimoto berkata, beliau melihat terdapat transformasi signifikan yang diperlukan oleh sektor pendidikan, dan golongan pendidik mengharapkan banyak penyelesaian pintar dapat diwujudkan untuk menyokong pengajaran hibrid dan dalam talian.
“Dalam tempoh masa tidak menentu ini, kepentingan transformasi digital dalam persekitaran pendidikan menjadi semakin diperlukan. Dengan memanfaatkan teknologi terkini dan membangunkan penyelesaian pintar, pelajar boleh belajar dengan pelbagai cara dan meluaskan perspektif mereka melangkaui bilik darjah tradisional.
“Kami percaya bahawa ini adalah tanggungjawab sosial kami untuk bekerjasama dengan golongan pendidik bagi memastikan anak-anak kita dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang berkesan, dan tiada sesiapapun yang ketinggalan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada sumbangan yang diperuntukkan, Sharp juga menggalakkan para guru membangunkan bahan pengajaran yang inovatif dan menarik untuk dikongsikan dalam komuniti guru.
Sharp dan YGMB akan terus mewujudkan pelbagai inisiatif bagi memperkasa guru dalam meningkatkan kemahiran digital mereka dan menggalakkan pemerolehan bahan pengajaran berkualiti tinggi daripada para guru.
Sharp Malaysia menyediakan Penyelesaian Bilik Darjah Pintar kepada SMK Dato’ Perdana Bachok untuk menyokong pembelajaran hibrid yang fleksibel, menghidupkan pembelajaran dan membolehkan pelajar meningkatkan pengalaman pembelajaran digital mereka.