portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

HILANG KEDUA IBU BAPA DALAM MASA TIGA BULAN, ANAK-ANAK CEKAL HARUNGI HIDUP

Galeri

MELAKA – Kehilangan kedua orang tua dalam tahun yang sama sememangnya memberi tamparan hebat buat anak-anak Allahyarhamah Cikgu Salmee Zaitul Rahimah Ishak, 48 yang meninggal dunia pada Disember tahun lalu akibat tekanan darah tinggi.

Anak sulungnya, Muhammad Syafiq Azhar, 22 berkata meskipun berdepan detik mendukacitakan sebanyak dua kali sepanjang tahun 2021, dia perlu menjadi contoh yang baik dalam menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas pemergian kedua ibu bapanya.

“Sebagai anak sulung, saya tiada pilihan lain selain untuk terus menjadi kuat dalam mengharungi ujian ini terutamanya apabila saya mempunyai adik-adik yang masih belajar. Namun, saya bersyukur apabila ibu saudara yang banyak membantu saya dalam menjaga adik-adik sewaktu saya perlu pulang belajar ke universiti.

“Selepas kehilangan arwah bapa akibat komplikasi buah pinggang pada September tahun lalu, saya tahu arwah ibu sedih namun dia tetap kuat demi kami anak-anaknya. Jadi, saya juga perlu mengambil semangat arwah ibu dalam meneruskan kehidupan. Semua ini aturan Yang Maha Esa, maka kami perlu laluinya dengan reda dan tenang,” tegasnya.

Penuntut tahun dua jurusan Perniagaan dan Pentadbiran, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut berkata bahawa arwah ibunya diserang penyakit tekanan darah tinggi secara tiba-tiba sebaik sahaja pulang dari mengajar di sekolah.

“Pada petang Jumaat itu, dia pulang mengajar dan mengadu sakit kepala yang teruk. Jadi, saya bawanya ke hospital untuk dapatkan rawatan lanjut. Arwah perlu dimasukkan ke wad akibat bacaan tekanan darah yang sangat tinggi.

“Keesokan harinya, barulah doktor dapati terdapat darah beku di kepalanya sebelum arwah ibu koma dan mengembuskan nafasnya yang terakhir,” jelasnya.

Dalam pada itu, anak kedua Salmee Zaitul Rahimah yang sedang bercuti dari mengikuti pengajian kitab di Tareem, Yaman mewakili keluarganya menerima RM8,000 Khairat Kematian sebagai Ahli Skim 16 (AS16) Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dalam satu majlis bersama warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu dekat sini.

Muhammad Syafiq turut menzahirkan rasa syukur apabila YGMB menjaga kebajikan warga pendidik seperti arwah ibunya dengan nilai manfaat yang membolehkan waris meneruskan kelangsungan hidup.

“Alhamdulillah, wang manfaat khairat kematian yang YGMB serahkan ini sedikit sebanyak mampu membantu kami sekeluarga. Saya hanya dapat tahu tentang keahlian arwah ibu dalam Skim 16 ini melalui ibu saudara saya yang juga merupakan seorang guru,” katanya.

Guru bagi mata pelajaran Sejarah di SMK Pernu itu meninggalkan empat orang cahaya mata iaitu Muhammad Syafiq, Muhammad Syahir; 21, Nur Aina Aqilah; 18, Nur Aina Basyirah; 15 dan seorang anak angkat, Nur Aina Fareha yang berusia 2 tahun.