KUANTAN – Sentiasa menerapkan fikiran positif dalam minda merupakan kunci utama buat Cikgu Aniza Jamaluddin, 46 bangkit untuk terus berjuang dalam melawan penyakit barah payudara yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Aniza yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Balok berkata, dia percaya hanya diri sendiri yang mampu mengawal keadaan mental dan fizikal terutama ketika berdepan dengan penyakit berbahaya itu.
“Sebenarnya bila kita sudah set dalam minda untuk kembali pulih seperti sedia kala, insyaAllah apa sahaja rintangan kita mampu lalui dengan mudah. Mula-mula bila dapat tahu menghidap penyakit itu, memang perasaan sedih tidak mampu dikawal. Namun, kita tidak boleh bersedih terlalu lama kerana kelak ia akan membinasakan diri.
“Oleh itu, saya tukar segalanya kepada perkara dan fikiran yang baik-baik. Kita tidak boleh rasa diri serba kekurangan. Alhamdulillah, saya dapat rasakan berkat pemikiran yang tenang itu membantu saya dalam meneruskan setiap rawatan yang perlu dilalui termasuk pembedahan serta kimoterapi dengan mudah dan lancar. Segala-galanya dipermudahkan oleh Yang Maha Esa,” ujarnya tenang.
Bagaimanapun, ibu kepada dua orang cahaya mata itu turut mengakui sokongan keluarga dan orang sekeliling turut menyumbang kepada kesembuhannya hari ini.
“Saya rasa amat bertuah apabila sokongan suami, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan amat baik sehingga membolehkan saya seakan-akan lupa akan sakit itu. Malah, sewaktu menjalani proses rawatan, saya tidak mengambil cuti yang terlalu lama dan tetap mengajar seperti biasa memandangkan ketika itu kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Anak sulung saya selalu membantu membersihkan dan membalut luka saya dahulu. Suami pula akan sentiasa memantau dan menasihati pemakanan saya agar kesihatan berada pada tahap memuaskan,” katanya.
Terdahulu, Aniza menerima wang manfaat Penyakit Kritikal sebagai Ahli Skim 18 (AS18) Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bernilai RM25,144.71 dalam satu Majlis Penyampaian yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dekat sini, baru-baru ini.
“Sebenarnya tidak sangka juga kerana manfaat yang YGMB sediakan ini agak besar nilainya buat saya. Meskipun semua rawatan telah berakhir, namun wang yang saya miliki hari ini sekurang-kurangnya boleh membantu saya dalam menjaga pemakanan dan kehidupan yang lebih sihat. Sebagai bekas pesakit barah, mestilah saya ingin memastikan kesihatan sentiasa terjaga agar perkara sama tidak berulang,” tegasnya.