BATU PAHAT – Sejak terlibat kemalangan jalan raya pada awal Mac lalu, seluruh keluarga Cikgu Muhammad Azmi Mohamed Saleh, 42 masih mengalami trauma setiap kali mahu menaiki kereta.
Muhammad Azmi berkata, kemalangan yang melibatkan dirinya bersama isteri dan keempat-empat anaknya itu telah mengakibatkan kereta Produa Axia yang dinaikinya rosak secara keseluruhan dan tidak boleh diselamatkan lagi.
“Kemalangan tersebut betul-betul memberi kesan trauma terutama kepada anak-anak saya. Anak bongsu saya yang baru berusia enam tahun mengalami kecederaan agak parah kerana dia tercampak keluar dari kereta sehingga mengakibatkan peha kaki kirinya patah dan terpaksa dibedah untuk dimasukkan besi. Bagaimanapun, besi tersebut telah dikeluarkan dan kini dia masih dalam proses rawatan susulan.
“Namun begitu, saya amat bersyukur apabila tiga lagi anak saya hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di klinik sahaja ketika itu. Saya, isteri dan si bongsu terpaksa dikejarkan ke hospital dan bermalam beberapa hari.
“Sehingga kini, sekiranya perlu menaiki kereta untuk bergerak ke mana-mana, kesemua anak saya akan membaca doa secara kuat memohon perlindungan dari Nya. Saya sedar, mereka masih takut namun dalam masa yang sama mereka cuba melawan perasaan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, isterinya Cikgu Yanti Izura Ismail, 42 berkata, bukan sahaja anak-anaknya yang mengalami trauma, malah dirinya masih berkira-kira setiap kali melakukan pemanduan.
“Setiap kali saya berhenti di mana-mana simpang, saya akan perhatikan cermin sisi dan cermin belakang untuk memastikan jarak yang agak jauh dengan kenderaan lain. Sekiranya kereta belakang himpit terlalu dekat, saya mula rasa berdebar dan teringat-ingat kejadian lalu.
Yanti yang juga guru subjek Sains di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Batu Pahat itu turut menyatakan kebimbangannya apabila terlalu ramai pemandu yang kurang peka terhadap kepatuhan dan undang-undang jalan raya.
“Sesungguhnya, memang musibah berlaku tanpa diduga. Kadang-kadang, apabila kita sudah cukup berhati-hati dan berhemah ketika memandu sekali pun, tetapi akibat daripada kecuaian pemandu lain, ia turut mampu mengundang masalah buat orang lain yang tidak berdosa,” tegasnya.
Dalam pada itu, Yanti dan suaminya turut berterima kasih terhadap keprihatinan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) apabila mereka masing-masing menerima Manfaat Kemalangan Jalan Raya sebagai Ahli Skim 16 (AS16) berjumlah RM8,700.60 dalam satu Majlis Penyampaian dekat sini baru-baru ini.
“Benarlah kata pepatah iaitu “sediakan payung sebelum hujan” kerana kita tidak tahu bila akan ditimpa ujian. Alhamdulillah, berkat keahlian kami berdua suami isteri sebagai AS16 YGMB sejak tahun 2016, sekurang-kurangnya hari ini mereka tampil membantu kami dalam menguruskan kos rawatan susulan akibat kemalangan yang telah dialami sebelum ini,” katanya.
Wang Manfaat Kemalangan Jalan Raya tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Tuan Haji Shahilon Abd Halim dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPNJ, Tuan Haji Anuar Sukiran sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato ‘ Wan Munadi Wan Mamat dalam majlis tersebut.