portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

NORIAH MENITIS AIR MATA TERIMA KHAIRAT KEMATIAN RM27,019.14 UNTUK SARA KELUARGA

Galeri

KOTA BHARU – Balu Allahyarham Mohamad Mohd Salleh, Noriah Ariffin terkejut dan menangis sebak apabila mendapat tahu jumlah sebenar Khairat Kematian diterimanya daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Ketika dimaklumkan dia akan menerima manfaat Khairat Kematian sebanyak RM27,019.14, Noriah terus terdiam dan menitiskan air mata kerana jumlah yang diterima itu sangat besar nilainya buat dirinya dan anak-anak.

“Betul ke ni? Ya Allah, banyaknya…Alhamdulillah, rezeki saya dan anak-anak. Terima kasih YGMB kerana hadir dengan berita gembira ini,” katanya dalam nada sebak menahan air mata ketika mengetahui jumlah Khairat Kematian yang diterimanya.

Baru-baru ini, Noriah menerima manfaat Khairat Kematian sebanyak RM27,019.14 yang disampai oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Zulkernai Fauzi sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Terdahulu, Zulkernai dan Wan Munadi menghadiri program Bicara Profesional Pengarah Bersama-Sama Guru Besar Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan 2021 di sini.

Noriah menerima Khairat Kematian daripada YGMB selepas suaminya yang merupakan Pembantu Makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Biji Wangsa di Tumpat meninggal dunia pada 17 Ogos lalu akibat serangan jantung.

Menurut Noriah, sebagai suri rumah sepenuh masa, dia begitu bersyukur kerana wang Khairat Kematian yang diterimanya itu dapat digunakan untuk keperluan keluarga serta menampung pendidikan enam anak yang masih bersekolah dan menuntut di IPT.

“Saya akan gunakan ‘hadiah’ daripada YGMB ini untuk menyara keluarga dan anak-anak. Selepas arwah ‘pergi’ anak sulong yang banyak membantu keluarga,” katanya yang mempunyai sembilan orang anak berumur 8 hingga 28 tahun.

Mengulas mengenai arwah suaminya, Noriah berkata, doktor mengesahkan punca kematian suaminya ialah akibat serangan jantung walaupun pada mulanya dimasukkan ke wad Hospital Pasir Mas untuk prosedur rawatan akibat penyakit tibi.

“Sebenarnya, arwah telah lama menghidap penyakit kencing manis dan dalam masa sama, dia juga menghidap sakit jantung…sejak setahun lalu, dia berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan pakar namun, masalah jantungnya semakin teruk.

“Boleh dikatakan takdir tuhan untuknya apabila doktor juga memaklumkan arwah ada menghidap tibi. Pada 15 Ogos dia dimasukkan ke wad dan pada 16 Ogos saya sempat telefon serta berbual dengannya dan suami mengatakan dia sudah sihat dan kembali berselera untuk makan.

“Namun, awal pagi pada 17 Ogos iaitu pada pukul 3 pagi, saya dikejutkan dengan panggilan daripada pihak hospital telefon yang memaklumkan suami sudah meninggal dunia. Saya terkejut kerana malam itu kami sempat berbual panjang dan dia juga sihat,” katanya.

Dalam pada itu kata Noriah, dia mengetahui arwah menjadi ahli YGMB dan boleh membuat tuntutan selepas dimaklumkan oleh kerani SMK Dato’ Biji Wangsa.

“Kerani ada cakap saya boleh buat tuntutan Khairat Kematian dengan YGMB tetapi, saya tidak tahu prosedur yang perlu dilakukan. Alhamdulillah anak sulong cuba cari melalui Facebook dan dapat hubungi YGMB,” katanya.