TANAH MERAH – Seorang guru tidak menyangka dapat menerima khairat kematian daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebanyak RM27,012.79 meskipun suaminya baru menyertai keahlian yayasan tersebut dua tahun lalu.
S. Nora Isam,50, berkata, dia juga tidak mengetahui suaminya, Suhailan Che Man,51, menyertai YGMB apabila arwah tidak memaklumkan mengenai perkara itu sebelum meninggal dunia.
Menurutnya, arwah suaminya yang bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan mengalami sesak nafas akibat serangan jantung semasa sedang bekerja dan meninggal dunia pada 18 Ogos lalu.
“Pada awalnya, saya agak terkejut apabila dimaklumkan mengenai sumbangan khairat kematian arwah suami. Sumbangan ini amat besar nilainya bagi meringankan beban saya dan tiga anak berusia 24, 22 dan 17 tahun.
“Wang khairat kematian ini akan digunakan sebaiknya untuk pembelajaran anak sulung yang belajar di peringkat Ijazah Sarjana manakala anak kedua pula kini sedang menjalani latihan industri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sumbangan Program Taklimat Keahlian Dan Kebajikan YGMB di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di sini baru-baru ini.
Dalam majlis itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan PPD Kota Bharu, Ahmad Yani Muhammad menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada S. Nora.
Selain itu, Ahmad Yani turut menyerahkan sumbangan penyakit kritikal kepada Guru Besar, Rosdi Harun berjumlah RM25,018.84 dan khairat kematian seorang guru, Tengku Hasnul Atikah Tuan Hassan sebanyak RM8,000 kepada suaminya, Mohd. Sabri Mat Yusof.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata, yayasan tersebut ketika ini mempunyai lebih 100,000 orang ahli dan setiap ahli mempunyai jaminan perlindungan kesihatan dan kebajikan.
Katanya, guru-guru perlu menitikberatkan mengenai penyakit kritikal seperti serangan jantung, kanser, kencing manis, darah tinggi dan masalah buah pinggang.
“Sejak akhir-akhir ini, ada guru-guru yang masih muda sudah menghidap pelbagai jenis penyakit kritikal.
“Kita sarankan kepada semua guru supaya menitikberatkan aspek kesihatan masing-masing meskipun sibuk menguruskan pelbagai kerja seharian,” ujarnya.
Menurut Wan Munadi, menjelang peralihan Monsun Timur Laut ketika ini, setiap ahli YGMB yang berhadapan bencana juga akan menerima manfaat yang disediakan pihak yayasan.
Katanya, jika ada ahli YGMB terjejas banjir, mereka layak menerima bantuan sebanyak RM500 dan sumbangan itu akan disalurkan dengan segera.