portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

SUAMI PEMBANTU TADBIR TERKEJUT TERIMA JUMLAH KHAIRAT KEMATIAN YANG BESAR AKIBAT COVID-19

Galeri

KUALA TERENGGANU, 22 Sept 2021 – ‘Jika saya meninggal dunia, percepatkan urusan pengkebumian, kebumikan sahaja di Terengganu, jangan bawa pulang ke Kelantan sebab jauh nak balik,” kata Allahyarhamah Azera Ariffin, 51.

Itu antara pesan Allahyarhamah kepada suaminya, Amat Fauzi Atan, 53, sewaktu kali terakhir berhubung dengan isterinya itu sebelum ditidurkan pada 1 Jun di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Azera yang merupakan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang, Kuala Terengganu ditidurkan akibat dijangkiti virus Covid-19 sebelum meninggal dunia pada 3 Jun lalu.

Bercerita tentang tahap kesihatan arwah, Amat Fauzi berkata, Azera yang berasal dari Bunut Payung, Kelantan menghidap sakit buah pinggang dan disahkan positif Covid-19 semasa berada di wad.

“Azera dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu pada 18 Mei. Dalam tempoh itu, dia disahkan positif Covid-19. Saya sedikit ralat sebab tidak boleh jaga, tetapi faham keadaan tidak mengizinkan.

“Proses pengkebumian arwah pun saya tidak berkesempatan untuk uruskan sebab masih dalam tempoh kuarantin. Saya dan anak-anak reda dengan ketentuan Ilahi dan pesannya saya akan penuhi,” katanya yang mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan dengan Azera.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Khairat Kematian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebanyak RM27,001.87 dan manfaat kebajikan RM300 akibat Covid-19 di PPD Kuala Terengganu hari ini.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan PPD Kuala Terengganu, Ismail Mohd Ali sambil disaksikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Menurut Amat Fauzi, sewaktu hayatnya, arwah sudah memaklumkan bahawa dirinya ada menyertai YGMB serta beberapa skim perlindungan yang lain sekiranya berlaku apa-apa kepada dirinya.

“Alhamdulillah…Rakan-rakan arwah di sekolah telah banyak membantu saya dalam urusan tuntutan ini, terima kasih juga kepada YGMB yang mengutamakan kebajikan para ahlinya.

“Saya sebenarnya terkejut sebab jumlah Khairat Kematian yang diterima sangat besar dan tidak seperti yang dijangka. Saya akan gunakan untuk perkara yang bermanfaat terutamanya dalam membesarkan anak-anak,” kata Amat Fauzi yang mendirikan rumah tangga selama 27 tahun bersama Azera.

Dalam pada itu, Wan Munadi ketika ditemui berkata, Allahyarhamah Azera merupakan Ahli Skim 18 YGMB dan menjadi penerima pertama manfaat kebajikan (Khairat Kematian) akibat kematian dijangkiti wabak Covid-19.

“Alhamdulillah YGMB, telah menyempurnakan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan. Selain manfaat kebajikan Khairat Kematian, Allahyarhamah juga layak menerima manfaat kebajikan akibat Covid-19.

“Untuk rekod, YGMB telah mengeluarkan agak banyak bayaran kepada guru-guru yang dijangkiti Covid-19. Bagi ahli-ahli yang disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau di hospital Kementerian Kesihatan boleh membuat tuntutan dengan menghubungi YGMB.

“Dengan keadaan semasa ketika ini, sudah sampai masanya warga pendidik mempunyai pelan perlindungan untuk diri dan keluarga. Saya berharap warga pendidik tidak kira guru mahupun AKP merebut peluang yang ada untuk menyertai skim perlindungan bersama YGMB,” katanya.