MERLIMAU, 13 Sept 2021 – “Allahyarham suami saya tetap terus mengajar menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) meskipun hanya terbaring di atas katil saat-saat hujung nyawanya,” ujar balu Allahyarham Cikgu Nasharudin Abdul Wahab, 55 iaitu Roslina Abdul Rashid, 56.
Roslina berkata, suaminya yang meninggal dunia akibat kanser darah itu sudah dua tahun cuti sakit sejak 2018, namun kembali mengajar sejak awal tahun ini apabila merasa keadaan sudah kembali pulih.
“Lepas tamat cuti sakit selama dua tahun, dia sempat kembali mengajar seperti biasa di sekolah menggunakan tongkatnya. Kakinya tidak boleh berjalan seperti biasa kerana selepas rawatan kimoterapi semua habis, doktor dapati terdapat ketumbuhan baharu di kaki kirinya. Walaupun begitu, dia masih boleh bergerak dan bersemangat untuk mengajar.
“Selepas negara berdepan situasi Covid-19 yang semakin mengganas dan semua murid perlu mengikuti PdPR dia tetap teruskan mengajar walaupun hanya terpaksa berbaring sahaja. Tetapi waktu tu saya lihat dia sudah semakin lemah dan berdiam diri selama beberapa hari sebelum terus bawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada pagi 20 Julai lalu iaitu Hari Raya Haji tahun ini,” katanya dekat sini hari ini.
Roslina menerima wang Khairat Kematian Ahli Skim 16 Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) arwah suaminya yang juga Guru Sejarah di Sekolah Kebangsaan Merlimau itu sebanyak RM8,000 dan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.
Nasharudin meninggalkan seorang balu yang bekerja sebagai kerani dan empat orang anak iaitu, Muhammad Izrin; 27, Muhammad Izham; 24, Izzah Nafisah; 22 dan Muhammad Izuddin; 16.