DUNGUN, 6 September 2021 – “Saya kena kuat untuk anak-anak…Jika ikutkan perasaan ingin sahaja meraung dan bertanya kenapa aku yang kena penyakit ini,” kata Cikgu Masitah Zakaria.
Masitah yang berumur 46 tahun merupakan guru Sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka, Dungun disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada Jun tahun lalu.
Menurut Masitah, beliau sentiasa positif menerima ketentuan Ilahi dan tidak tertekan dengan keadaan dirinya walaupun tahu menghidapi penyakit yang sukar diubati.
“Bila dapat tahu saya menghidap kanser payudara tahap tiga pada Jun 2020, seluruh keluarga bersedih…semua terkejut. Ketiga-tiga anak saya pada ketika itu menangis.
“Saya fikir, saya kena kuat untuk hadapi semua ini…tidak boleh menangis, tidak boleh tunjuk kepada anak-anak yang saya tidak kuat. Alhamdulillah saya tempuhi segalanya.
“Suami dan anak-anak memang menjadi tulang belakang saya untuk hadapi semua ini, mereka bagi sokongan tidak berbelah bagi,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.
Terdahulu Masitah yang juga merupakan ahli Skim 18 Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menerima manfaat kebajikan (Penyakit Kritikal) sebanyak RM25,096. 84 yang disampaikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun (Sektor Pengurusan Sekolah) Shamsul Bahri Shafie.
Dalam majlis penyerahan di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Dungun itu, Masitah ditemani suaminya, Mohd Rosdi Abd Rahman yang juga merupakan seorang guru.
Hadir sama ke majlis penyerahan itu ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Pengetua SMK Paka, Mohd Inderam Yaacob.
Bercerita bagaimana dirinya mula disahkan menghidap kanser payudara, Masitah berkata, pada mulanya beliau hanya mengalami bengkak di bahagian tepi dada sahaja.
“Saya rasa ada bengkak di bahagian tersebut, pada mulanya kecil sahaja. Pada bulan Mac 2020, saya pergi ke klinik dan doktor cakap hanya bengkak biasa-biasa sahaja.
“Pada Jun 2020, bengkak itu semakin melarat dan besar…lengan saya tidak boleh dijatuhkan. Selepas itu, saya ke klinik dan doktor buat surat rujukan untuk saya dapatkan rawatan susulan.
“Di hospital swasta saya buat pemeriksaan dan disahkan menghidap kanser payudara. Sebenarnya saya ke hospital swasta kerana pada ketika itu hospital kerajaan banyak mengendalikan pesakit Covid-19.
“Sekarang saya sudah jalani enam kali kemoterapi dan 15 kali radioterapi. Ujian Pemeriksaan Imbasan CT (CT Scan) baru-baru ini doktor maklumkan sel kanser tidak merebak,” katanya.
Sementara itu katanya, beliau ketika ini tidak sabar untuk kembali ke sekolah dan mengajar anak-anak murid kerana rutin hariannya itu amat dirindui.
“Selepas disahkan menghidap kanser payudara ini, saya diberikan cuti sakit selama dua tahun…rindu sangat nak kembali mengajar dan tengok anak-anak murid,” katanya.
Ditanya apa perancangan untuk wang yang diterima daripada YGMB, Masitah berkata, dia berhasrat untuk guna wang berkenaan untuk mengerjakan umrah bersama suami.
“Saya tidak sangka manfaat kebajikan yang diterima begitu besar, saya akan gunakan untuk menunaikan umrah selain menanggung kos baki rawatan yang masih ada.