portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

PEMERGIAN IBU TUNGGAL BERI TAMPARAN HEBAT BUAT ANAK-ANAK TERUSKAN KEHIDUPAN

Galeri

AYER KEROH, 11 Ogos 2021 – Pemergian seorang ibu tunggal, Allahyarhamah Cikgu Noorliza Yusup, 47 akibat serangan asma pada 18 April lalu benar-benar memberi tamparan hebat buat anak sulungnya terutama dalam meneruskan kelangsungan hidup bersama adik-adik.

Anak sulungnya, Norhidayahtul Akmar Norhazizi, 25, mengakui kesukaran tersebut amat dirasai setelah pemergian ibunda tercinta dan ditambah pula dengan situasi semasa pandemik Covid-19 yang mengakibatkan dirinya hilang punca pendapatan.

“Selepas arwah pergi memang saya terpaksa gunakan wang simpanan yang ada untuk meneruskan kehidupan memandangkan musim sekarang agak sukar untuk mendapat pekerjaan. Adik-adik juga sedang berusaha mencari sumber pendapatan bagi meneruskan kehidupan.
“Sebolehnya kami tidak mahu menyusahkan orang lain. Biasalah bila kita sudah tiada siapa-siapa pelbagai isu lain yang boleh berbangkit. Oleh itu, saya berazam untuk jadikan arwah ibu sebagai tauladan untuk terus berusaha dan kuatkan semangat dalam mencari sumber pendapatan,” katanya.

Norhidayahtul turut berasa lega apabila mendapat tahu arwah ibunya merupakan Ahli Skim 16, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan layak menerima manfaat Khairat Kematian.

“Saya bersyukur kerana sedikit sebanyak wang yang diterima hari ini mampu meringankan bebanan yang saya lalui kini. Saya juga ingin zahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada YGMB yang sudi hadir menyampaikan sendiri wang ini,” ujarnya.

Khairat Kematian tersebut disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dekat sini hari ini.

Allahyarhamah Noorliza yang merupakan guru Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Tun Ahmad Syed Shahabuddin, Ayer Keroh meninggalkan empat orang anak iaitu Norhidayahtul, Norhadri Ajmal; 24, Norhazirah Anis; 23 dan Norhakimi Afiq; 21 serta seorang cucu.