DUNGUN, 28 Feb 2021 – Isteri Allahyarham Ustaz Amirulzaman Sulong, 44 redha atas pemergian suaminya ketika anak-anak masih kecil.
Nurhanani Abd Latif, 38 berkata, dirinya perlu terus kuat dalam menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal selepas suaminya meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak pada 5 Disember lalu.
“Anak-anak semua masih kecil. Hanya yang sulong sahaja faham ketika melihat arwah meninggal dunia. Lagi dua orang memang masih tidak mengerti apa-apa. Sememangnya ini antara cabaran hebat yang perlu saya lalui selepas pemergiannya.
“Selama ini memang arwah ada penyakit darah tinggi tetapi hanya makan ubat dan boleh mengajar seperti biasa. Namun, tiba-tiba pada 4 Disember lalu, berlaku pendarahan di otaknya dan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Nurhanani juga memberitahu arwah tidak menunjukkan tanda-tanda ketara atau meninggalkan sebarang pesanan akhir sebelum menghembuskan nafasnya, namun mengakui arwah suaminya berubah menjadi sedikit pendiam daripada kebiasaan.
Waris Amirulzaman yang merupakan ustaz di Sekolah Kebangsaan Ketengah Jaya II menerima wang Khairat Kematian sebagai Ahli Skim 18 Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), bernilai RM27,006.50 dekat sini hari ini.
Wang Khairat Kematian tersebut disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat. Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda.
Dalam pada itu, Nurhanani meluahkan kesyukuran apabila menerima wang Khairat Kematian tersebut dan bercadang untuk menggunakannya dalam menguruskan kehidupan dan pembelajaran anak-anak di masa akan datang.
Allahyarham Ustaz Amirulzaman meninggalkan seorang balu beserta tiga orang anak iaitu Faiz Amirulzaman; 6, Shafiq; 4 dan Nuha; 7 bulan.