portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

PAMPASAN YGMB TAMPUNG PENDIDIKAN ANAK

Galeri

KUALA TERENGGANU: Kesedihan seorang guru kehilangan suami secara mengejut pada sembilan bulan lalu sedikit terubat apabila menerima pampasan RM52,023.60 daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), baru-baru ini.

Noorhayati Salleh, 48, berkata, suaminya, Allahyarham Rospi Abu Bakar, 49, yang merupakan GPK Kokurikulum SK Bukit Perah tersebut meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Mac lalu.

“Waktu itu arwah suami saya sedang memancing seorang diri di Felcra Pasir Pelata, Hulu Terengganu.

“Kami hanya berjaya menjumpainya terbujur di tebing sungai pada 12 tengah malam berdasarkan lokasi dikirim arwah suami sebelum itu,” katanya.

Noorhayati berkata demikian ketika ditemui selepas menerima pampasan tersebut pada Konvensyen Pendidikan Persatuan Guru Besar Kebangsaan, di sini, baru-baru ini.

Beliau menerima pampasan skim YGMB disampaikan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Abdul Muie Ngah.

Turut hadir Pengerusi YGMB, Aminudin Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

Selain itu, Guru Besar SK Payoh, Ahmad Hazli Abdul Multalib yang kematian isterinya, Yuhaneza M. Yusop turut menerima pampasan RM54,012 pada majlis sama.

Noorhayati memberitahu, pampasan tersebut akan digunakan untuk pendidikan lima anak mereka yang berusia antara lapan hingga 22 tahun.

Guru SK Seri Berang itu berkata, beliau tidak menyangka memperolehi pampasan sebanyak itu walaupun arwah suaminya tidak sampai setahun menyertai Skim Emas YGMB.

“Urusan pembayaran pampasan juga sangat mudah dan mendapat kerjasama YGMB,” katanya.

Sementara itu, Wan Munadi berkata, YGMB dalam persediaan untuk membantu ahli-ahlinya yang terjejas banjir sepanjang musim tengkujuh ini.

Beliau berkata, setiap tahun, YGMB memperuntukkan lebih RM150,000 bagi bantuan banjir kepada ahli-ahlinya seluruh negara.

“Saya meminta ahli-ahli yang terjejas banjir memaklumkan kepada kami agar penyaluran bantuan dapat disegerakan,” katanya. – UTUSAN