Blogs

Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan Kepada Ahli-Ahli YGMB

Undefined

Usaha Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) untuk menunaikan janji yang terdapat pada 16 produk kebajikan telah dilaksanakan pada 28 Mei 2014 di Wisma YGMB. Seramai lapan orang ahli YGMB menerima sumbangan berjumlah RM30,000.00 dalam majlis tersebut. Sumbangan tersebut, antaranya bantuan khairat kematian sebanyak RM8,000.00 kepada dua orang ahli, sumbangan kemalangan sebanyak RM5,000.00 kepada dua orang ahli, selebihnya sumbangan ahli yang melanjutkan pelajaran ke universiti.

Dua orang ahli YGMB yang telah kembali ke rahmatullah telah menerima sumbangan khairat kematian sebanyak RM8,000.00 seorang. Mereka adalah Cikgu Hashimah Idris yang telah kembali ke rahmatullah pada 4 Mac 2013 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Beliau merupakan Guru Cemerlang di SMK Tengku Panglima Perang, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang. Suami Allahyarhamah Cikgu Dahari Ahmad telah hadir untuk menerima sumbangan tersebut.

Seorang lagi ahli YGMB yang menerima sumbangan khirat kematian adalah Allahyarhamah Cikgu Raja Arifah Raja Hassan. Allahyarhamah telah kembali ke rahmatullah pada 17 Mac 2013 semasa beliau bertugas di SK La Salle 2, Sentul, Kuala Lumpur. Allahyarhamah meninggal dunia disebabkan penyakit barah. Suami Allahyarhamah telah hadir untuk menerima sumbangan YGMB.

Sementara itu dua orang ahli YGMB telah menerima sumbangan bernilai RM5,000.00 akibat kemalangan. Mereka adalah Pn. Khairunnisa Mohd Jalil yang bertugas di SK Seri Maamor, Kuantan, Pahang, telah mengalami kemalangan jalan raya semasa beliau dan keluarganya dalam perjalanan dari Rompin ke Tangkak pada 19 Julai 2013. Kereta yang yang dipandu oleh suaminya telah bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan. Cikgu Khairunnisa telah mengalami kecederaan patah tulang punggung dan dirawat di Hospital Muadzam dan kemudiannya di pindahkan di Hospital Putra, Melaka. Suami beliau hadir di majlis ini untuk menerima sumbangan bagi pihak isterinya.

En. Adnan Abd Karim pula mengalami kecederaan sema terjatuh di rumahnya. Beliau yang bertugas sebagai Pembantu Am Pejabat di SK Sri Laksemana di Masjid Tanah Melaka. Beliau terjatuh dalam bilik mandi di rumahnya di Taman Banda Baru , Masjid Tanah, Melaka pada 27 November 2013., mengalami kecederaan lutut (Anterior Cruliate Ligament) yang menyebabkan beliau mengalami kesukaran untuk bergerak. Beliau mendapat rawatan di Putra Specialist Hospital, Melaka.

Empat orang ahli YGMB telah menerima sumbangan sebanyak RM1,000.00 seorang kerana melanjutkan pelajaran mereka ke universiti. Mereka adalah En. Abdul Khalim Mohd Tasrip, Pn. Siti Rohana Salleh, En. Jaafar Ali Habibullah dan Pn. Asniza Che Ishak.

Sejak penubuhan YGMB pada tahun 1994, YGMB telah membelanjakan 11 juta ringgit dalam usaha untuk membantu dan meringankan bebanan yang ditanggung oleh ahlinya.

  • Title: Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan Kepada Ahli-Ahli YGMB
  • Posted by:
  • Date: 5:07 PM
  • Tags:
Top