Skip to main content
x

"Guru pelaksana dasar kerajaan"

KOTA KINABALU, 2 MEI 2017 – Golongan penjawat awam terutamanya dinasihatkan supaya berhenti berkhidmat sekiranya mahu bebas memberikan pendapat negatif terhadap kerajaan sedia ada.

 

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Maimunah Suhaibul menegaskan, guru perlu setia kerana mereka merupakan kumpulan pelaksana dasar kerajaan. Katanya, selaku penjawat awam, golongan guru terikat dengan peraturan supaya tidak melontarkan sebarang pendapat yang menentang kerajaan.

 

“Guru perlu faham tanggungjawab sebagai penjawat awam memerlukan kesetiaan penuh kepada pemerintah sedia ada kerana kita adalah kumpulan pelaksana dasar-dasar yang dibuat kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis taklimat penempatan guru baharu sekolah rendah dan menengah JPNS di Wisma Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini semalam.

 

Pada majlis itu, Datuk Maimunah turut menyampaikan 547 surat penempatan guru baharu yang berasal dari Sabah untuk mengajar di sekolah rendah dan menengah.

 

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPNS, Datuk Dr. Mohd Kassim Mohd Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

 

Sementara itu, Wan Munadi berkata, YGMB sentiasa memberi fokus kepada kebajikan guru dan mereka perlu menyertai yayasan itu supaya nasib mereka lebih terbela.

 

“Kami kini mempunyai 100,000 ahli di seluruh negara dan berharap lebih ramai warga pendidik menyertai YGMB. Selain kebajikan ahli, YGMB turut komited untuk meningkatkan profesionalisme guru terutama dari aspek penyampaian pembelajaran,” katanya.

 

Tambahnya, YGMB dan jabatan pendidikan di setiap negeri sentiasa bekerjasama untuk membantu meningkatkan kemampuan teknik PdPc para guru.