Skip to main content
x

HAMPIR 100,000 GURU SERTAI YGMB - MAT KE-22

KUALA TERENGGANU, 30 April 2016 - Usaha menarik ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) terus mendapat sambutan apabila sehingga Disember tahun lalu, seramai 11,457 ahli baharu mendaftar menjadikan hampir 100,000 guru menyertai yayasan itu di seluruh negara.

Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pertambahan itu menunjukkan perkembangan positif dan membuktikan sokongan serta keyakinan dalam kalangan warga pendidik terhadap yayasan berkenaan.

Beliau memberitahu, sejak penubuhannya 22 tahun lalu, YGMB membelanjakan lebih RM13 juta untuk membiayai sumbangan kebajikan ahlinya dengan tahun lalu sahaja, hampir RM1 juta telah dibayar kepada ahli menerusi pelbagai produk kebajikan yang disediakan.

Menurutnya, daripada nilai kese­luruhan sumbangan tahun lalu, sejumlah RM221,800 adalah untuk faedah bencana sekali gus menjadi sumbangan kebajikan terbesar.

“Antara faktor utama peningkatan jumlah tuntutan sumbangan untuk faedah itu adalah berkaitan bencana banjir di daerah-daerah utama di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada akhir Disember 2014 yang melibatkan 737 ahli.

“Begitu juga faedah hadiah persaraan yang melibatkan 900 orang pesara dengan nilai sumbangan RM180,000 manakala RM140,100 bagi sumbangan tamat pengajian membabitkan 567 ahli YGMB,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap dalam majlis pe­rasmian Mesyuarat Agung Tahunan YGMB Ke-22 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman di TH Hotel & Convention Centre dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Raof Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat selain kehadiran hampir 1,000 ahli yayasan berkenaan.

Alimuddin menarik perhatian, Kumpulan YGMB mencatatkan pres­tasi kewangan lebih baik bagi tahun berakhir 31 Disember lalu berbanding tahun sebelumnya, hasil strategi penjimatan perbelanjaan operasi melebihi 40 peratus dengan perolehan kasar RM7.3 juta.

Malah, jelas beliau, usahasama strategik dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi kad kredit 1TeachersCard yang mula dilancarkan pada 2012 menjadi antara penyum­bang perolehan YGMB de­ngan mencatatkan keuntungan bersih melebihi RM1.6 juta tahun lalu.

Dalam majlis itu, seramai 15 guru menerima sumbangan khas kebajikan YGMB yang melibatkan peruntukan berjumlah RM6,000 bagi membantu meringankan beban mereka yang menghidapi penyakit kronik kritikal atau separa kritikal.

Sumber: Utusan