Skip to main content
x

YGMB SASAR 200,000 AHLI MENJELANG 2020

JASIN, 9 April 2015 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyasarkan pertambahan keahlian seramai 200,000 orang di seluruh negara menjelang tahun 2020 dalam usaha membantu memartabatkan profesion keguruan.

Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, sehingga kini terdapat seramai 82,508 ahli yang berdaftar di bawah yayasan berkenaan yang ditubuhkan dengan matlamat utama memelihara kebajikan para guru.

Menurut beliau, pihaknya juga komited untuk terus melaksanakan pelbagai aktiviti menarik penyertaan lebih ramai dalam YGMB selain mengajak guru mengambil peluang tersebut untuk menerima pelbagai faedah yang ditawarkan sekiranya menjadi ahli.

“YGMB menawarkan 16 produk yang menjaga kebajikan, ekonomi dan faedah kepada guru dan pegawai serta kumpulan sokongan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menjadi ahli.

“Antaranya ialah khairat kematian dan kos pengebumian ahli, kecacatan kekal atau hilang upaya ahli, kemalangan secara bayaran ganti, elaun hospital, musibah, khairat kematian pasangan ahli, kecacatan kekal atau hilang upaya pasangan ahli.

“Di samping itu YGMB turut memberi sumbangan kebajikan bagi kemasukan ke institusi pe­ngajian tinggi awam dan swasta serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi ahli yang me­lanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan Khairat Kematian kepada Waris Guru yang terlibat kemalangan di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah (SMKIS), di Kelubi di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Pengetua SMKIS, Zulkaply Yunus.

Alimuddin berkata, YGMB yang merupakan sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyerahkan sumbangan kepada ahlinya melebihi RM12 juta sejak ditubuhkan pada 1994.

“Pada tahun lalu, pihak yayasan ini juga telah memperuntukkan lebih RM1.2 juta untuk memberi sumbangan kebajikan kepada guru khususnya yang menjadi ahli YGMB,” katanya.

Sementara itu, Mahmod Selamat, 54, bapa kepada Ayob Mahmod, 27, guru yang meninggal akibat kemalangan jalan raya pada 23 Januari lalu, mengucapkan jutaan terima kasih kepada YGMB atas pemberian sumbangan kebajikan khairat kematian berjumlah RM28,000.

Katanya, dia bersyukur dengan keprihatinan pihak berkenaan dan berhasrat untuk menggunakan wang tersebut membiayai pengajian tiga orang lagi anaknya yang masih belajar di universiti dan sekolah.

“Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang membantu kami sekeluarga selain banyak memberi sokongan untuk kami menghadapi kehilangan anak sulung yang sangat berharga bagi kami sekeluarga,” katanya.



Sumber: Utusan