Skip to main content
x

YGMB SEDIA BANTU GURU TERJEJAS BANJIR

KEMAMAN 22 Januari 2015 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sedang dalam proses mendapatkan maklumat lengkap mengenai guru-guru yang terbabit dalam banjir baru-baru ini bagi membolehkan mereka menerima bantuan daripada yayasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya sedang meneliti dan mengemaskini senarai guru yang menjadi ahli YGMB yang terjejas banjir tempoh hari.

Menurutnya, mereka merupakan guru yang terlibat dengan banjir termasuk di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak selain Sabah dan Sarawak yang kini turut dilanda banjir.

Beliau memberitahu, usaha itu dilakukan dengan kerjasama semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang terlibat sebelum menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

“Baru-baru ini banjir besar melanda beberapa buah negeri terutama Kelantan, Terengganu dan Kelantan yang turut melibatkan golongan guru. Jadi, kita sedang kumpul maklumat untuk kita salurkan sumbangan kepada mereka yang menjadi ahli YGMB.

“Kita sedang berurusan dengan jabatan pendidikan di negeri-negeri yang terjejas banjir bagi mendapatkan maklumat berapa ramai guru yang boleh kita bantu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan wang RM2,000 kepada keluarga guru, Nur Hayati Sulong yang mati lemas dalam banjir bulan lalu di kediaman abang arwah, Azman Sulong di Taman Geliga Intan di sini hari ini.

Wan Munadi berkata, atas ke­prihatinan YGMB bagi membantu mangsa banjir, RM50,000 disumbangkan kepada Tabung Bantuan Banjir Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Katanya, setakat ini yayasan itu menghulurkan sumbangan RM200,000 bagi membantu mang­sa bencana pada 2013.

Kata beliau, pihaknya menjangkakan jumlah bantuan akan mening­kat tahun lalu dan tahun ini berikutan banjir buruk.

Justeru, beliau menyeru golongan guru yang masih belum menjadi ahli YGMB supaya mendaftar bagi menjaga kebajikan mereka.

“Buat masa ini keahlian YGMB adalah 82,000 orang guru di seluruh negara. Kita seru mereka agar menyertai YGMB supaya kebajikan mereka terpelihara,” katanya.

Mengenai nasib enam anak arwah Nur Hayati yang kini yatim piatu, beliau melahirkan rasa simpati terhadap enam beradik malang itu sambil memghulurkan sumbangan daripada YGMB.

“Meskipun arwah bukan ahli YGMB, tapi kita simpati dan memberi sokongan moral kepada keluarganya. Arwah Nur Hayati seorang guru yang cukup dedikasi dan sangat amanah kepada tugasnya,” ujarnya.

Dalam kejadian bot penyelamat terbalik di Kampung Geliga Che Akob di sini bulan lalu, suami Nur Hayati, Suhaimi Rashid turut terkorban.

Mereka meninggalkan enam anak yang masih kecil iaitu Nor Syafiqah Shahira, 13; Nor Izah Insyirah, 11; Muhammad Ifran Irshad, 9; Nur Intisar Iedihar, 6; Muhammad Aqil Amsyar, 4; dan Nor Adifa Arissa yang berusia empat bulan.


Sumber: Utusan