IPOH, 7 November 2024 – Prihatin dengan nasib yang menimpa guru yang berkhidmat di SK Seri Pangkor di Pulau Pangkor, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) hari ini menyerahkan manfaat Kemalangan Jalan Raya sebanyak RM7,217.75 kepada Thaevakumari a/p Anndy di satu sesi penyerahan yang diadakan di Ipoh, Perak.
Menurut Thaevakumari yang berusia 33 tahun itu, ketika kejadian dia dari arah Lumut sedang menuju ke arah Ayer Tawar tidak sempat untuk mengelak kenderaan dari arah bertentangan yang membelok masuk ke simpang secara tiba-tiba.
Kejadian yang berlaku sepantas kilat dan hampir meragut nyawanya itu telah mengakibatkan pelanggaran antara dua kenderaan tersebut dan mengakibatkan kecederaan parah di bahagian kepala, muka dan dada guru Bahasa Inggeris tersebut.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YGMB atas sumbangan manfaat yang diberikan sejak saya menjadi ahli dari sembilan tahun yang lepas.”
Sebagai rekod, sebelum ini Thaevakumari telah menerima Hadiah Perkahwinan dan Kelahiran Anak.