Skip to main content
x

"BANTUAN YGMB HADIR SAAT SAYA AMAT MEMERLUKANNYA" – CIKGU G. PUVANESWARI

Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

 

TELUK INTAN, 19 Nov 2020 - “Wang manfaat hasil daripada keahlian Skim 16 Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) benar-benar membantu meringankan beban dan hadir di saat saya amat memerlukannya”, itu luahan hati Cikgu G. Puvaneswari, 30 yang terlibat dengan kemalangan jalan raya pada Julai lalu.

 

Beliau berkata, yuran RM10 sebulan yang selama ini dicarumkan ternyata mampu membantu dirinya ketika berdepan dengan situasi malang itu yang turut menelan sejumlah kos rawatan yang agak tinggi.

 

“Benarlah kata orang bahawa ‘malang itu tidak berbau’. Sewaktu kemalangan dalam perjalanan untuk ke sekolah itu, saya telah mengalami kecederaan di kepala sehingga mengakibatkan darah beku berlaku serta keretakan pada lutut di sebelah kanan.

 

“Semua itu memerlukan kos rawatan yang tinggi. Namun, hari ini setelah saya menerima wang manfaat daripada YGMB, ia sedikit sebanyak telah mampu membantu meringankan kewangan saya dalam membiayai kos rawatan,” katanya ketika dihubungi melalui panggilan telefon hari ini.

 

Guru Bahasa Melayu dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nova Scotia 1 itu turut mengakui yuran keahlian yang rendah dan tidak membebankan menyebabkan dirinya terus yakin untuk menukar skim baharu agar lebih banyak manfaat yang boleh dinikmati pada masa akan datang.

 

“Saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan dan manfaat yang ditawarkan oleh YGMB. Sebenarnya, ini merupakan kali kedua saya menerima manfaat YGMB selepas menerima manfaat Kelahiran Anak pada tahun lalu. Suami saya yang juga ahli YGMB turut menerima manfaat sama ketika itu.

 

“Selepas ini, saya akan pastikan untuk upgrade ke Skim 18 pula. Malahan, ramai cikgu di sekolah saya telah mula berminat untuk menjadi ahli YGMB setelah melihat manfaat-manfaat yang telah saya terima. Proses untuk membuat tuntutan manfaat juga amat mudah serta layanan mesra oleh pihak YGMB amat memuaskan hati saya,” ujarnya.

 

Jelasnya, setiap guru di negara ini seharusnya tidak melepaskan peluang untuk menjadi ahli YGMB agar kebajikan mereka turut terbela.

 

YGMB hari ini menyerahkan wang manfaat Kemalangan Jalan Raya bernilai RM6,311.90 kepada Puvaneswari yang terlibat kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan ke sekolahnya untuk bertugas.