BAYAR YURAN KEAHLIAN RM94 PUN TETAP TERIMA MANFAAT KHAIRAT KEMATIAN
BATU PAHAT – 8 Julai 2020, Walaupun baru sahaja membayar yuran keahlian sebanyak RM94, Allahyarham Mohd. Jamil Mohd. Yassin, 55, tetap layak menerima manfaat Khairat Kematian daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).
Majlis penyerahan sumbangan Khairat Kematian sebanyak RM29,011. 16 kepada waris yang juga isteri Allahyarham, Sarina Mohd. Aripin, 48, diadakan di kediaman pasangan guru itu di Lorong Al Amin Sungai Gersik, Semerah di Batu Pahat, Johor.
Allahyarham Mohd. Jamil meninggal dunia pada 22 Januari lalu akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi. Majlis penyerahan sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.
Menurut Sarina, beliau tidak menyangka walaupun kurang setahun dirinya bersama Allahyarham suami menyertai YGMB, mereka tetap layak untuk menerima manfaat sebagai ahli yayasan berkenaan pada hari ini.
“Potongan gaji sebanyak RM94 sudah berjalan untuk membayar yuran keahlian YGMB. Seingat saya kurang setahun kami menyertai yayasan ini, rupanya banyak manfaat. Sebelum ini mungkin kurang pendedahan.
“Selepas ini saya akan bantu untuk hebahkan kebaikan guru-guru menjadi ahli YGMB. Saya sebenarnya pun tidak tahu layak mendapat manfaat sebanyak ini. Mungkin ia rezeki saya dan anak-anak selepas suami pergi meninggalkan kami,” katanya.
Lokasi terakhir Allahyraham Mohd. Jamil berkhidmat ialah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Tohor di Sungai Pulai di Muar manakala isterinya kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Sungai Balang Darat di Muar.
Dalam pada itu, Wan Munadi berkata, sumbangan Khairat Kematian Allahyarham Mohd. Jamil ialah sebanyak RM27,011,16 termasuk simpanan daripada hasil bayaran yuran keahlian manakala, tambahan RM2,000 lagi ialah untuk isteri sebagai khairat kematian pasangan.