CIKGU RINA TERHARU, YGMB HADIR HULUR SUMBANGAN KHAS
Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen
KUALA KRAI, 8 Dis 2020 – Cikgu Rina Kamaludin menzahirkan kesyukuran dan kegembiraannya atas kehadiran pihak Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan bagi menghulurkan sumbangan khas kepada dirinya yang disahkan menghidap penyakit diabetes kronik sejak tahun 2012.
Menurut Rina, sumbangan tersebut sedikit sebanyak telah membantu dirinya dan keluarga dalam menguruskan perbelanjaan keperluan harian.
“Saya tidak sangka YGMB hadir bersama JPN hari ini kerana pada mulanya saya hanya ingat JPN ingin menziarahi saya sahaja. Pagi ini baru saya tahu selepas melihat pihak YGMB hadir bersama-sama menghulurkan sumbangan ini.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi turun padang dari jauh. Sumbangan ini sedikit sebanyak membantu kewangan kami memandangkan suami saya punya pendapatan sebagai pemandu e-hailing juga tidak menentu,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Sumbangan khas disampaikan sendiri oleh Pengerusi YGMB, Tuan Haji Aminudin Adam dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dalam siri ‘Ziarah Prihatin YGMB’ bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-26 yang berlangsung pada 26 Disember lepas.
Hadir sama dalam ‘Ziarah Prihatin YGMB’ ialah Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid JPN Kelantan, Kamal Ruzaman Hasan dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan JPN Kelantan, Che Hanuni Che Ali.
Guru Bahasa Arab di SK Temalir itu menjelaskan tahap penglihatannya kini turut terjejas akibat penyakit diabetes kronik yang dihidapinya.
“Penglihatan saya kini sudah tinggal 50% dan turut membataskan kemampuan saya dalam mengajar. Namun, sehingga kini saya masih tetap hadir bertugas dengan keupayaan yang terbatas.
“Pada tahun lalu, saya juga telah menjalani pengimbas MRI dan ketika itu doktor sahkan saraf di otak kanan saya turut terjejas sehingga mengakibatkan saya lupa akan banyak perkara,” katanya.