Enter your keyword

post

FIKIR-FIKIRKANLAH MANFAATNYA

FIKIR-FIKIRKANLAH MANFAATNYA

PEKAN, 20 April 2016 – Usaha menarik penyertaan guru terutama kalangan guru muda menjadi ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) perlu diperhebatkan dengan memperkenalkan beberapa insentif tambahan yang menarik termasuklah skim insurans pendidikan untuk tabungan anak-anak.

Menarik perhatian perkara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Rosdi Ismail berkata, itu perlu difikirkan kerana guru muda yang masih bujang pasti tidak akan memikirkan atau beralih ke skim insurans lain setelah mereka mendirikan rumahtangga dan selepas itu dikurniakan cahaya mata.

“Fikir-fikirkanlah perkara ini (perkenalkan insurans pendidikan) iaitu misalnya selepas 10 tahun mencarum, apa manfaat atau imbalan yang akan diperoleh anak-anak ahli YGMB,” kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Rosdi berkata, insentif-insentif tertentu perlu diperkenalkan untuk membolehkan YGMB bersaing dalam suasana ekonomi yang mencabar pada masa ini terutama dalam menarik penyertaan ahli-ahli baharu.

Dalam pada itu, YGMB menyasarkan keahlian guru muda meningkat sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan guru menjelang 2020 berbanding kira-kira 20 peratus pada masa ini.

Sehubungan itu, pihaknya akan melaksanakan pendekatan lebih berkesan bagi membantu mendaftarkan lebih ramai guru muda dalam yayasan tersebut.

“Kita akan melaksanakan pelbagai program yang melibatkan guru muda di setiap daerah bagi melaksanakan kempen secara berterusan. Menerusi kempen ini, kita yakin dapat memberikan penerangan dan pendedahan kepada guru muda tentang kepentingan menyertai YGMB demi kebajikan serta masa depan mereka,” katanya.

Menurut Rosdi, pada masa ini terdapat kira-kira 90,000 guru menyertai YGMB daripada keseluruhan 430,000 guru di lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.

“Di Pahang sahaja terdapat kira-kira 26,000 guru di negeri itu. Kita percaya dengan pelbagai pendedahan dan peningkatan kesedaran tentang faedah kebajikan dalam YGMB dapat meningkatkan jumlah keahlian dari semasa ke semasa,” katanya.

YGMB yang ditubuhkan pada 7 Mac 1994 dengan sokongan Kementerian Pendidikan tidak bermotifkan keuntungan dan bertujuan membela kebajikan guru di negara ini.

Dengan jumlah yuran serendah RM10 sebulan, ahli berhak mendapat pelbagai kemudahan termasuk 16 faedah yang mencecah sehingga RM70,000.

“YGMB Berjaya membentuk satu produk yang tidak ditawarkan oleh mana-mana kesatuan dan persatuan guru di negara ini dengan bayaran yang minimum, jadi kita harap guru-guru dapat merebut peluang ini,” kata Rosdi.

Whatsapp kami
1