GALAK PENDIDIK MUDA SERTAI YGMB
KOTA BHARU, 24 Oktober 2016 – Bagi menarik lebih ramai guru menjadi ahli Yayasan Guru Muda Berhad (YGMB), pihak terbabit akan turun padang melalui program Guru Muda 1Malaysia (GM1M) bermula tahun ini.
Timbalan Pengerusi YGMB, Datuk Hassan Hashim berkata, usaha itu bagi menarik kira-kira 300,000 guru di seluruh negara yang belum menjadi ahli YGMB.
“Sehingga kini, kita mempunyai kira-kira 100,000 ahli dan kita akan bersama program GM1M bagi menarik lebih ramai guru khususnya pendidik muda untuk mendaftar sebagai ahli YGMB.
“Jika sebelum ini, program ini hanya digerakkan di peringkat negeri, namun tahun hadapan kita akan mula ke daerah-daerah bagi menyampaikan maklumat mengenai YGMB yang ditubuhkan bagi menjaga kebajikan golongan pendidik,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Guru Muda 1Malaysia (GM1M) Peringkat Negeri Kelantan di sini, kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Pengarah JPN negeri, Jaafar Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.
Hassan berkata, dengan bayaran sebanyak RM10 sebulan, ahli-ahli YGMB akan menikmati 16 faedah kebajikan yang ditawarkan.
“Faedah itu meliputi khairat kematian (ahli), khairat kematian (pasangan), khairat kematian (anak), kemalangan, kecacatan kekal (ahli), kecacatan kekal (pasangan), kecacatan kekal (anak), elaun hospital dan sebagainya.