GURU TERHARU DAPAT PEMBELAAN YGMB
JOHOR BAHRU, 12 Julai 2017 – Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Daya 3, di sini terharu apabila mendapat pembelaan kebajikan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dengan menerima sumbangan bantuan rawatan hospital berjumlah RM10,000.
Menurut guru, S. Pumalai, 34, yang mengalami kecederaan parah apabila terlibat dalam kemalangan setelah kereta Perodua MyVi dinaikinya dirempuh sebuah bas ketika dalam perjalanan dari Taman JP Perdana ke Bukit Indah pada 10 Julai tahun lalu.
Akibat kemalangan tersebut dia mengalami pendarahan dalam kepala, patah lengan kiri, patah tulang belakang dan limpa kirinya terpaksa dibuang akibat terkoyak tertusuk enam tulang rusuk yang patah.
“Disebabkan kecederaan yang dialami begitu teruk, saya terpaksa menjalani beberapa pembedahan dengan bil perubatan berjumlah RM11,400 di sebuah hospital swasta di bandar raya ini. Selama 15 hari saya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad biasa.
“Saya juga terpaksa menjalani rawatan fisioterapi dua kali sebulan dan ini tidak termasuk lagi kos sampingan seperti kos perubatan, alat penjagaan dan peralatan bantuan.
“Jadi, bantuan yang diberikan YGMB ini amat besar maknanya bagi saya,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan di SK Taman Daya 3, hari ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.
Sementara itu, Wan Munadi berkata, YGMB bukan sahaja memberi manfaat dalam menjaga kebajikan ahlinya, malah turut mengangkat kerjaya sebagai seorang guru ke peringkat lebih tinggi.
“Setiap tahun YGMB mengeluarkan dana RM1 juta untuk kegunaan pelbagai program dan setakat Jun ini sahaja yayasan sudah membelanjakan sebanyak RM600,000,” katanya.
Sumber: Utusan