Enter your keyword

post

HASRAT CIKGU NORVIKA INGIN LIHAT ANAK IKUT JEJAK LANGKAH JADI GURU TIDAK KESAMPAIAN

HASRAT CIKGU NORVIKA INGIN LIHAT ANAK IKUT JEJAK LANGKAH JADI GURU TIDAK KESAMPAIAN

Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

KUCHING, 9 Nov 2020 – Hasrat guru di Sekolah Kebangsaan Gumbang, Bau, Sarawak, mendiang Norvika Anak Rimes, 39 untuk melihat anak mengikut jejak langkahnya menjadi guru tidak kesampaian apabila beliau menghembuskan nafas terakhir pada 14 Jun 2020 akibat kanser paru-paru.

Suaminya, Damien Anak Petrus Johip, 40 berkata mendiang pernah menyatakan hasrat untuk melihat salah seorang anaknya boleh menjadi guru memandangkan ramai ahli keluarganya mempunyai latar belakang sebagai golongan pendidik.

“Isteri saya mahu melihat salah seorang daripada mereka menjadi sepertinya. Malah, keluarga isteri saya iaitu kakak dan adiknya juga merupakan seorang guru.

“Saya juga perasan anak sulung saya itu banyak menunjukkan minat ingin ke arah perguruan. Jadi, sekiranya berpeluang saya juga memberi sokongan penuh agar legasi peninggalannya dapat diteruskan meskipun dia sudah tiada, saya pasti dia bangga sekiranya hasratnya itu tercapai,” ujarnya kepada YGMB melalui panggilan telefon dalam nada sebak.

Dalam pada itu, Damien mengucapkan kesyukuran apabila proses menuntut wang manfaat Khairat Kematian Ahli Skim 16 isterinya itu berjalan lancar.

“Dengan wang yang ada ini, sedikit sebanyak ia membantu meringankan beban saya dalam meneruskan kehidupan untuk memastikan tanggungjawab saya terhadap anak-anak dapat dibela.

“Sudah lima bulan isteri pergi meninggalkan kami, namun saya melihat anak-anak saya redha dan sudah memahami situasi itu. Meskipun berat untuk laluinya, saya yakin anak-anak kuat dan pasti doa yang terbaik buat ibu mereka. Harapan saya hanya satu, saya mahu menjaga amanah peninggalan mendiang sebaiknya,” tegasnya.

Norvika meninggalkan suami yang juga merupakan seorang juruteknik bersama dua orang anak mereka iaitu Kimberly Enrika, 13 dan Joel Daniello, 9.

Whatsapp kami
1