Kongsi bersama

Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

 

KOTA BHARU, 9 Dis – Pemergian Allahyarhamah Cikgu Azreen Ariffin @ Mohd Saufi, 37 ketika melahirkan zuriat pertamanya benar-benar memberi kesan mendalam buat ahli keluarganya.

Adiknya, Ayu Farhana Ariffin @ Mohd Saufi, 32, berkata Azreen tidak mempunyai sebarang komplikasi dan tanda-tanda akan pergi namun dia hanya menyatakan keterujaannya untuk menimang cahaya mata sulungnya itu.

“Dia pergi secara tiba-tiba. Kami semua terkejut dengan pemergiannya, lagi pula dia selalu kata tidak sabar untuk melihat anaknya lahir ke dunia.

“Walaubagaimanapun, dia sempat meninggalkan pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp kepada seluruh ahli keluarga untuk mendoakan keselamatannya sewaktu melahirkan sebelum mula masuk ke dalam dewan bedah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayu Farhana berkata, demi memastikan Nuh Aidan Mohd Nordeing yang berusia dua bulan itu mendapat kasih sayang sepenuhnya dari kedua ibu bapa, mereka sekeluarga membuat keputusan untuk menjadikan adiknya yang baru berkahwin sebagai penjaga.

“Buat masa sekarang, kami serahkan Nuh Aidan kepada adik yang baru sahaja berkahwin dan belum memiliki cahaya mata untuk menjaganya memandangkan dia berkemampuan dari segala sudut.

“Bagi mengelakkan sebarang isu di kemudian hari, kami juga biarkan adik ipar menjadi ibu susuannya agar apabila besar auratnya tidak terbatas dan boleh merasa hubungan kekeluargaan.

“Kami juga tidak mahu apabila besar dia mula sedih apabila membayangkan hari kelahirannya adalah hari yang sama dengan kematian ibunya. Jadi, apabila adik dan adik ipar menjadi ibu bapa susuannya, insyaAllah dia boleh merasai kasih sayang ibu bapa secukupnya,” tegasnya.

Keluarga Cikgu Azreen menerima wang Khairat Kematian Ahli Skim 16 Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bernilai RM8,000 beserta wang kelahiran anak bernilai RM300 yang disampaikan sendiri oleh Pengerusinya, Tuan Haji Aminudin Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat menerusi ‘Ziarah Prihatin YGMB’ bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-26 yang berlangsung pada 26 Disember yang lalu.

Hadir sama ialah Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid JPN Kelantan, Kamal Ruzaman Hasan dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan JPN Kelantan, Che Hanuni Che Ali.

Guru Kaunseling di SMK Padang Kala, Kelantan itu meninggal dunia semasa melahirkan bayi sulungnya pada 4 Oktober lalu.