Kongsi bersama

Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

KODIANG, 21 Feb 2021 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) tampil menyampaikan manfaat Kemalangan Jalan Raya (Kos Rawatan Hospital) bernilai RM10,000 kepada Ahli Skim 16, Cikgu Radin Mas Abd Rahim, 41 yang terlibat dengan kemalangan jalan raya pada 25 Julai tahun lalu.

Cikgu yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Siputeh, Kodiang sebelum ini terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak lebih RM20,000 sebagai kos rawatan selepas terbabit dengan kemalangan ketika mengelak dari dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Impak daripada kemalangan tersebut, saya mengalami kecederaan serius pada ligamen otot lutut dan perlu menjalani pembedahan sebanyak dua kali. Sehingga kini, saya masih merasai kesan trauma,” katanya.

Sementara itu, YGMB turut menyalurkan Khairat Kematian Ahli Skim 16 bernilai RM8,000 kepada waris Allahyarham Cikgu Ismail Ibrahim, 50 yang mengajar di sekolah sama.

Isterinya, Siti Roziah Lanurung mengakui pemergian suaminya itu amat meninggalkan kesan, namun dia perlu terus kuat demi anak-anak yang masih jauh perjalanan hidup.

“Memang arwah sakit buah pinggang sudah lama sejak tujuh tahun lalu. Tetapi dia tidak pernah terlepas untuk buat dialisis dan keadaannya sentiasa sihat. Namun, kita perlu akur dengan ketentuanNya, kini sudah tiba ajalnya. Saya akui ia amat menyedihkan tetapi saya tetap perlu kuat dan berdikari seperti yang arwah sering ingatkan kepada saya dan anak-anak,” ujarnya.