Kongsi bersama

Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

ALOR GAJAH, 25 Feb 2021 – “Anak-anak adalah sumber kekuatan saya selepas ketiadaan isteri,” itu luahan hati Rahimi Samsudin, 39 suami kepada Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Laksamana, Allahyarhamah Raihanah Osman, 31 yang meninggal dunia akibat tumor otak pada 11 Disember lalu.

Rahimi berkata, isterinya sempat berpesan untuk menjaga amanah peninggalannya itu beberapa minggu sebelum menghadap Ilahi.

“Waktu dia dah semakin kritikal tempoh hari, sempat arwah pesan kepada saya untuk sentiasa menjaga anak-anak. Tipulah kalau saya cakap tak pernah down sepanjang menjaga dan melihatnya menanggung kesakitan, tetapi setiap kali melihat anak-anak saya tahu saya perlu kuat demi mereka.

“Kadang-kadang saya takut untuk mengingatkan mereka tentang kenangan silam. Namun, ada ketika bila kami ke tempat yang pernah dilawati bersama arwah, anak-anak yang sering mengimbau kenangan. Jadi dari situ saya tahu bahawa mereka juga sebenarnya amat kuat dalam menghadapi kehilangan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rahimi turut menyatakan bahawa dia tidak mengetahui tentang keahlian Skim 16 Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang disertai arwah sehingga dimaklumkan sendiri oleh pihak sekolah.

“Selama ini saya memang tidak tahu, tetapi lepas arwah meninggal dunia, pihak sekolah ada maklumkan kepada saya tentang keahliannya. Jadi, saya cuba menghubungi pihak YGMB sendiri dan alhamdulillah mudah prosesnya.

“Saya bersyukur kerana sedikit sebanyak wang Khairat Kematian arwah ini boleh digunakan untuk perbelanjaan anak-anak yang bakal memasuki sesi persekolahan pada minggu depan,” katanya.

Waris Raihanah menerima RM8,000 wang Khairat Kematian yang disampaikan oleh Pengurus Bahagian Keahlian & Kebajikan YGMB, Ishak Ismail di kediamannya dekat sini hari ini.

Raihanah meninggalkan suami beserta dua orang anak iaitu Rabiahtul Nur Annasa’i Rahimi, 9 dan Muhammad Raihan Amani, 4.